UNTUK PAPARAN MENARIK

SILA GUNAKAN GOOGLE CHROME DAN MOZILLA 3 KE ATAS SAHAJA. PAPARAN BEBERAPA WIDGET MUNGKIN TIDAK SESUAI JIKA MENGGUNAKAN IE8, SAFARI DAN OPERA.

Klik aje le

Kompleks Tarbiyyah Raudhatul Jannah (KoTa RaJa)

Friday, March 4, 2011

Bahasa Melayu Sebagai Lingua Franca



Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan di daerah Kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Hal ini dapat  dibuktikan apabila seorang pengembara China bernama I-Tsing telah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masihi. Dalam perjalanannya dari China ke India, beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan dengan meluasnya di Palembang
Francois Valentijn pernah meriwayatkan bahawa kerajaan Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di Kepulauan  Melayu  dengan pedagang-pedagang dari Eropah dan Asia Barat. 
Daripada huraian di atas, didapati bahawa bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa lingua franca di  kepulauan Melayu disebabkan bahasa ini mudah dipelajari. Tambahan pula, ianya bersifat sederhana dan tidak terikat kepada susun lapis masyarakat . Justeru itu bahasa Melayu mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa . Malahan, bahasa Melayu juga  mencatatkan sejarahnya yang tersendiri . Ini terbukti apabila Parlimen telah meluluskan Akta Bahasa Kebangsaan 1967 yang mewajibkan bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan rasmi negara Malaysia menggantikan tempat bahasa Inggeris setelah sepuluh tahun Tanah Semenanjung mendapat kemerdekaannya.
 Lanjutan daripad peristiwa itu, pada 1 September 1967 DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah mengisytiharkan bahasa Melayu sebagai bahasa Rasmi Negara yang tunggal bagi Persekutuan Malaysia. Kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tercatat dengan jelas sebagai Perkara 152 dalam Perlembagaan Persekutuan Malaysia.


ii) Merujuk kepada huraian di atas, dinyatakan bahawa faktor sejarah sangat penting dalam pembentukan dasar bahasa, Justeru itu ia perlu diperkuatkan dengan sumber-sumber dan bukti-bukti sejarah.

Sebelum zaman kemerdekaan (sebelum 1957) timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan maka lahirlah Laporan Barnes 1951 bertujuan untuk menyemak dan memerbaiki status kaum Melayu pada masa itu.Antaranya, usul Laporan Barnes mendukung falsafah menjadikan bahasa Melayu sebagai landasan perpaduan melalui pendidikan. Bagaimanapun peranan bahasa Melayu tetap terbatas di peringkat sekolah rendah dan apabila ke sekolah menengah mereka akan melalui sistem pendidikan yang berbahasa Inggeris.  Laporan Barnes  hanya mengusulkan agar hanya dua aliran sekolah rendah, iaitu aliran Melayu dan Inggeris sahaja menyebabkan tentangan dari kaum Cina dan India.

Usul tersebut telah terbatal akibat tentangan kaum Cina dan India. Pada tahun 1951 jawatankuasa Fenn-Wu terbentuk untuk mengkaji kepentingan pendidikan kaum Cina. Sebuah jawatan khas dibentuk sesudah itu untuk menyelaraskan unsur-unsur Laporan Barnes dan Laporan Fenn-Wu. Antara usul-usul tersebut adalah:-
  • Penubuhan dua jenis aliran persekolahan, iaitu aliran bahasa Melayu dan aliran bahasa Inggeris.
  • Kemudahan pengajaran bahasa Cina dan Tamil jika ada permintaan sekurang-kurangnya daripada 15 orang murid dalam kelas.
  • Bahasa Inggeris menjadi mata pelajaran wajib di sekolah.

 Majlis Perundangan Persekutuan telah meluluskan usul-usul tersebut  pada bulan September 1951 dan dijadikan Ordinan pelajaran 1952. Namun demikian ordinan ini juga tidak terlaksana. Rentetan daripada perkara itu, kerajaan sekali lagi membentuk jawatankuasa khas dan salah satu keputusannya ialah “penggunaan dua bahasa secara beransur-ansur di sekolah Melayu dan penggunaan tiga bahasa di sekolah Cina dan Tamil supaya akhirnya dapat diserapkan ke dalam sistem persekolahan kebangsaan. Malangnya,  ketetapan tersebut tidak terlaksana sehingga tahun 1956.

Seterusnya, majlis perundangan menerima usul-usul tersebut sebagai asas kepada Penyata Razak atau Laporan Razak 1956. Usul penting laporan Razak yang berkaitan secara langsung dengan pendidikan bahasa Melayu ialah rancangan membentuk suatu sistem pendidikan kebangsaan yang dapat memupuk pelbagai keturunan dengan Bahasa Melayu menjadi salah satu asasnya.

Sekolah Umum yang berbahasa pengantar bahasa Melayu dan sekolah jenis umum yang terdiri daripada sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil  adalah antara kesan langsung daripada Laporan Razak yang berkaitan dengan sistem persekolahan di Persekutuan Tanah Melayu. Semua sekolah mewajibkan pengajaran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Pada tahun 1960, jawatankuasa pendidikan  yang dipengerusikan oleh Abdul Rahman Talib telah ditubuhkan. Jawatan kuasa ini mencadangkan supaya bahasa kebangsaan diajar mulai Darjah Satu dalam semua sekolah Cina,Tamil dan Inggeris. Jawatankuasa ini juga mencadangkan supaya Bahasa Melayu dimajukan menjadikannya bahasa penghantar di semua sekolah yang dahulunya sekolah rendah kerajaan.

Laporan Rahman Talib pula ingin merealisasikan idealisme Laporan Razak yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pada suatu waktu yang tidak ditetapkan selaras dengan penekanan terhadap kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.(Perlembagaan Persekutuan, Perkaa 152). Antara usul-usul tersebut termasuklah:-
  • Menukar bahasa penghantar Inggeris di peringkat sekolah rendah dengan bahasa Melayu.
  • Peperiksaan umum peringkat sekolah menengah dijalankan dalam bahasa rasmi negara sahaja, iaitu bahasa Melayu.
Kementerian Pelajaran telah mengeluarkan peraturan yag mewajibkan pengajaran bahasa kebangsaan menerusi arahan di bawah Peraturan-Peraturan Khusus Sekolah 1956.Mata pelajaran kursus Bahasa Melayu dijadikan wajib untuk memperoleh Sijil Rendah Pelajaran Malaysia dan Sijil Pelajaran Malaysia. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar di sekolah menengah bermula pada tahun 1963 apabila semua mata kursus jurusan sastera di Tingkatan Satu diajar dalam bahasa Melayu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa pengantar utama yang dilaksanakan sepenuhnya diperingkat menengah di Semenanjung Malaysia dan Sabah pada tahun 1982, manakala di Sarawak pada tahun 1990. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah digubal pada Tahun 1988 bagi memperteguhkan hala tuju dan matlamat pendidikan negara. Falsafah ini menekankan pendidikan yang menyeluruh dan bersepadu bagi membentuk pelajar dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Bahasa Melayu digunakan sebagai bahasa penghantar bagi kursus-kursus peringkat awal di maktab perguruan sejak tahun 1957. Pada tahun 1973, Bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar tunggal dalam latihan perguruan. Pada tahun 1980, bahasa Melayu menjadi bahasa penghantar lengkap untuk tingkatan satu hingga tingkatan lima sekolah menengah. Perlaksanaan di tingkatan enam rendah bermula pada tahun 1981 dan tingkatan enam atas pada tahun 1982. Bahasa Melayu di Universiti merupakan lanjutan dari perlaksaan yang telah dilakukan diperingkat sekolah rendah dan sekolah menengah. Sejak tahun 1983 hingga tahun 1991, penggunaan bahasa Melayu dalam pendidikan baik diperingkat sekolah rendah, menengah, maktab dan universiti terlaksana dengan lancar.

Daripada huraian di atas, terbuktilah bahawa  sejarah adalah berkait rapat dalam memberikan impak terhadap pembentukkan dasar bahasa di Malaysia. Rentetan sejarah yang telah disebutkan di atas banyak memberi kesan kepada masyarakat dan dasar kerajaan sehigga terbentuklah bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan di Malaysia sehingga ke hari ini.

Ditulis oleh Maznah bt Meor Mohd.

1 comment:

nazrul ashraff said...

macam sejarah je..haha...all laporan bla bla bla..hehe

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Sudi-sudilah Letakkan Link Anda Disini