Klik aje le

Monday, April 28, 2014

Cuaca panas: MB mahu aktiviti luar kelas dikaji

27 April 2014

Adnan Yaakob

KUANTAN - Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob mahu semua aktiviti luar kelas dikaji semula bagi mengelakkan pelajar berdepan risiko kesihatan akibat cuaca panas dan berjerebu.

"Pihak sekolah atau Jabatan Pendidikan Negeri perlu mengkaji semula setiap aktiviti luar yang mereka rancang dan jika tidak ada keperluan untuk meneruskan aktiviti itu, ada baiknya kita tangguh atau batalkan saja.

Kita tidak mahu ada pelajar berdepan risiko hingga membahayakan kesihatan mereka terutamanya dengan keadaan cuaca sekarang yang panas dan berjerebu," katanya ketika melawat keluarga Allahyarham Mohammad Ammar Abdulloh, 17, di Tanjung Lumpur di sinihari ini.

Mohammad Ammar pelajar Tingkatan Lima Sekolah Menengah Kebangsaan Tanjung Lumpur, yang mengikuti Latihan Perkhemahan Kadet Polis di Pusat Kokurikulum Sultan Ahmad Shah, Kampung Pandan, di sini, bertarung nyawa selama 34 jam diUnit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini sebelum disahkan meninggal dunia Rabu lepas.

Sehari sebelum itu, Mohammad Amar pengsan ketika mengikuti aktiviti jalan lasak sejauh kira-kira lima kilometer yang diadakan dan guru pengiring serta kakitangan kem itu terus membawanya ke HTAA bagi mendapatkan rawatan susulan sebelum doktor mengesahkan dia meninggal dunia pada jam 11.20 malam.

Bapa saudara Allahyarham, Syed Mohd Nor Arifin Syed Abdul Kadir al-Attas berkata doktor yang merawat Mohammad Ammar memaklumkan kepadanya sekeluarga bahawa kematiannya disebabkan oleh kepanasan melampau dan kegagalan organ dalaman berfungsi.

Adnan yang ditemani isterinya, Datin Seri Junaini Kassim meluangkan masa kira-kira dua jam bertanyakan khabar dan menyampaikan rasa simpati kepada ibu bapa Mohammad Ammar, Abdulloh Saleh dan Syarifah Jamilah Syed Alwi selain menyampaikan sumbangan peribadi beliau kepada keluarga itu. - Bernama

sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...