Klik aje le

Monday, April 28, 2014

DAP mahu ‎Hadi buktikan pemimpin Pakatan setuju hudud di Kelantan

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
APRIL 27, 2014


DAP gesa Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang kemuka bukti Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat setuju hudud dilaksanakan di Kelantan. Gambar fail The Malaysian Insider.Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang didesak mengemukakan bukti dakwaan beliau yang mengatakan Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersetuju pelaksanaan hukum hudud di Kelantan, kata Lim Guan Eng.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, beliau terkejut dengan kenyataan Hadi berikutan DAP berpendirian menolak hudud diperkenalkan PAS di Kelantan sebelum atau selepas penubuhan PR pada 2008.

"Amat mengejutkan Hadi mendakwa Majlis Kepimpinan PR bersetuju melaksanakan undang-undang hudud di Kelantan," katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.


"Jika kenyataan itu dikeluarkan oleh Hadi, maka, beliau silap dan perlu mengemukakan bukti," kata ketua menteri Pulau Pinang itu.

Akhbar Utusan Malaysia memetik Hadi sebagai berkata, majlis tersebut membuat keputusan pelaksanaan hukum Islam itu adalah hak eksklusif parti tersebut dan tidak pernah dibincangkan dalam majlis berkenaan.

Beliau berkata, DAP dan PKR sewajarnya menghormati perjuangan PAS sejak ia ditubuhkan.

"Tidak pernah dibincang daripada segi itu (menolak hudud), yang dibincang ialah hudud merupakan hak PAS.

"Malah, kita membuat kenyataan bersama hudud adalah hak PAS yang perlu dihormati kerana ini merupakan agenda kita sebelum wujud pakatan pembangkang.

"Tidak timbul sama sekali PAS membelakangi DAP dan PKR," katanya ketika ditemui pemberita di Kelantan.

Lim berkata, ini adalah kali pertama beliau mendengar perkara itu.

"PR merangkumi PAS, DAP, dan PKR yang beroperasi berdasarkan konsensus daripada tiga parti ini. Jika satu parti tidak bersetuju, ia bukan polisi PR.

"Niat PAS melaksanakan hudud adalah polisi PAS, bukannya PR kerana DAP konsisten menentang hukum itu," katanya dalam kenyataan itu.

Lim berkata, PAS mula beralih kepada Umno selepas rakan komponen PR menolak idea mereka berhubung pelaksanaan hudud di Kelantan, dengan mempercayai Umno tidak bermain politik untuk menawan Kelantan.

"Gagal mendapatkan sokongan PR untuk melaksanakan hudud, PAS kini pergi kepada Umno.

"Meskipun Umno membantah hudud menerusi bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sehingga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 2011, PAS sanggup mempercayai Umno tidak bermain politik untuk menawan Kelantan," katanya.

Lim berkata, tidak mengejutkan apabila Najib mengenepikan pendapat MCA dan Gerakan dengan mengubah kedudukan kerajaan Barisan Nasional (BN) berkenaan pelaksanaan hudud di Kelantan.

"Menerusi bekerjasama dengan Umno untuk melaksanakan hudud di Kelantan, adakah sejarah akan berulang dan Umno akan menawan Kelantan," kata Lim.

Bersependapat dengan Lim, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, Hadi tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan putar belit terhadap isu itu.

"DAP tidak akan berganjak, kami akan mempertahankan agenda PR yang tidak termasuk pelaksanaan hudud," katanya.

Katanya, PAS juga bakal meruntuhkan sokongan pengundi dalam Pilihan Raya Umum 2013 disebabkan keputusan itu.

"Dengan kenyataan seperti ini, ia cukup untuk memusnahkan kepercayaan bukan sahaja kepada pengundi, tetapi juga rakan komponen PR," kata Gobind. – 27 April, 2014.

sumber : The Malaysian Insider

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...