Klik aje le

Thursday, April 17, 2014

Empat hutan simpan di Selangor hadapi ancaman pencemaran

Tan Su Lin| Kemas kini: April 13, 2014



KUALA LUMPUR: Percaya atau tidak, hanya 2 kilometer dari bandar Ampang, anda boleh meneroka kawasan hutan yang berusia satu juta tahun?

Hutan Simpan Ampang diisytiharkan sebagai kawasan perlindungan lebih 100 tahun dahulu sebelum diwartakan sebagai sebahagian daripada Taman Warisan Negeri Selangor.

Namun dalam berdepan situasi catuan air yang berterusan dan empangan yang semakin kering timbul persoalan kewajaran cadangan mewartakan kawasan seluas 106.55 hektar di Taman Negeri Selangor termasuk Ampang, bagi membina Lebuh Raya Lingkaran Luar Kuala Lumpur (KLORR).

Ini kerana jika dilaksanakan lebuh raya itu akan merentasi empat hutan simpan di Selangor iaitu Ampang, Bukit Seputeh, Ulu Gombak dan Ulu Langat yang merupakan kawasan tadahan air penting untuk Lembah Kelang.

"Sekiranya lebuh raya dibina ia akan menyebabkan pencemaran yang teruk. Lebuh raya itu akan memotong kawasan hutan dan tanah dipotong mengakibatkan hakisan tanah. Kualiti air juga akan terjejas selain ketenteraman dan bunyi bising." demikian menurut Lim Teck Wyn daripada Gabungan Pertubuhan Perlindungan Taman Negeri Selangor.



Gabungan itu terdiri daripada Tabung Alam Malaysia (WWF Malaysia), Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan Selamatkan Sungai Selangor dan Pertubuhan Treat Every Environment Special (TREES).

Tinjauan Astro AWANI pada pagi yang hening mendapati suasana kawasan Hutan Lipur Ampang cukup nyaman dan dingin dengan air jernih yang mengalir menerusi sungai dari hulu Hutan Simpan Selangor.

Sehingga kini, hutan simpan itu menjadi kawasan tadahan air terpenting untuk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ia membekalkan 19 juta liter air bersih setiap hari kepada 9,225 pengguna.

"Sungai ini adalah sumber air yang sangat penting untuk Lembah Klang. Malah Sungai Ampang mengalir di tengah-tengah Kuala Lumpur. Di bahagian hulu Taman Rimba ini dilitupi kehijauan Taman Negeri Selangor.

Taman negeri itu berfungsi sebagai kawasan tadahan hujan yang merupakan sumber air yang penting di kawasan ini." kata Teck Wyn.

Hutan Simpan Ampang juga menjadi habitat kepada lebih 100 spesies unggas, flora dan fauna termasuk tapir, beruang madu dan harimau bintang.

Keperluan untuk melaksanakan projek KLORR adalah berdasarkan laporan yang disediakan 15 tahun lalu.

Persoalannya, dengan langkah kerajaan mempromosi penggunaan pengangkutan awam, adakah lebuh raya itu masih diperlukan?

Sementara itu, 8,260 penduduk menandatangani petisyen membantah cadangan penarikan semula pewartaan kawasan seluas 106.55 hektar di Taman Negeri Selangor itu untuk pembinaan KLORR.

Sekiranya cadangan itu diteruskan, ini bermakna kawasan hutan berkeluasan 100 padang bola sepak akan diterangkan untuk membina lebuh raya.

Ini termasuk kawasan hutan lipur ampang yang menjadi kawasan rekreasi penduduk setempat sejak sekian lama.

Bagi penduduk, Fakrul Rozi Ismail yang sering mengunjungi hutan itu untuk berbasikal bersama rakan-rakannya pada hujung minggu dan cuti umum, ia akan merosakkan udara nyaman di bandar yang cukup tercemar dengan pembangunan.

"Andai kata tempat ini jadi lebuh raya selepas ini ada lori, kereta lalu dan akan menyebabkan udara tidak segar di sini. Sebab di sinilah tempat udara segar." kata Fakrul.

Namun, kebimbangan mereka adalah kesan pembinaan lebuh raya itu kepada kawasan tadahan hujan yang penting sebagai sumber air.

"Lebuh raya tidak boleh dibina di sini kerana ini adalah kawasan tadahan air dan sekiranya lebuh raya dibina ia akan merosakkan seluruh kawasan tadahan air ini. Jadi biarkan sahaja tempat ini tidak disentuh.

Pindah pembinaan lebuh raya itu jauh daripada kawasan hutan. Jangan dibuat di sini." tegas CK Liew yang tinggal sejak lebih 50 tahun lalu dan selalu mengunjungi taman rimba itu.

Bagi Sofi Yaakob, beliau cukup terkilan mendengar cadangan itu yang menurutnya belum pernah diumumkan sebelum ini kerana bimbang menjejaskan habitat alam semula jadi flora dan fauna yang ada di hutan simpan Ampang.

"Sebab ini hutan simpan kan kat sini ada banyak haiwan dia cuma akan jejas ekosistem tak patutlah sebab tempat ini dah lama dan selalu orang datang. Jadi bila nak buat lebuh raya ini saya rasa... entah lah macam tak patut lah benda ini." kata Sofi.

Susulan itu, 20 wakil daripada Gabungan Pertubuhan Perlindungan Taman Negeri Selangor termasuk Persatuan Penduduk Taman Melawati, menghantar petisyen kepada kerajaan negeri Selangor bagi membantah cadangan menarik balik status pewartaan 106 hektar kawasan Hutan Simpan Selangor untuk projek KLORR.

sumber : Astro Awani Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...