Klik aje le

Sunday, April 27, 2014

Jenayah remaja semakin membimbangkan - Ahmad Zahid


2014/04/26 - 21:31:25 PM

KUALA LUMPUR: Jenayah membabitkan remaja berusia 18 tahun ke bawah didapati semakin membimbangkan dan perlu diberi perhatian serius.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata jenayah membabitkan remaja terbabit meningkat sehingga 132 peratus pada tahun lalu berbanding 2012. "Anak sekolah semuda tujuh tahun iaitu darjah satu sudah mula melakukan jenayah. Ini merupakan bibit-bibit tidak sihat yang bakal mewujudkan penjenayah dalam jenayah berat dan terancang, saya amat khuatir kadar jenayah di kalangan remaja meningkat.

"Dalam perkara ini, aspek pencegahan menjadi elemen penting yang harus dilakukan di peringkat awal," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, ia memerlukan usaha daripada pelbagai pihak antaranya badan bukan kerajaan (NGO) termasuk sektor komuniti.

"Pencegahan ini haruslah bermula di peringkat sekolah rendah dan ia perlu dilaksanakan dengan mengetepikan ideologi politik.
"Di Malaysia terdapat lebih daripada 28 NGO yang berperanan menangani dan membanteras aktiviti jenayah, NGO ini perlu menjalin kerjasama di kalangan mereka termasuk kerjasama dengan Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia," kata Ahmad Zahid.

Katanya, meskipun kadar jenayah indeks dilihat berkurangan sehingga 12.6 peratus namun masih terdapat pelbagai usaha harus dijalankan bagi mengurangkan persepsi masyarakat terhadap jenayah.

MCCC didaftarkan pada 5 Mei tahun lalu bermatlamat membantu dalam menangani masalah jenayah dan keselamatan komuniti selain memberi penerangan dan mendidik golongan muda untuk menjauhi diri daripada jenayah.

Ia juga memberi perkhidmatan kaunseling kepada mangsa jenayah, keluarga dan golongan pelajar yang menghadapi masalah serta bekerjasama dengan polis dalam memberikan maklumat berkaitan jenayah dan aktiviti haram yang menggugat keselesaan komuniti.

- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...