Klik aje le

Monday, April 28, 2014

Kes pencemaran makanan perlu dipandang serius

CHAN SIEW FONG | 24 April 2014.

Belakangan ini, isu tentang aduan pencemaran makanan semakin menjadi-jadi, malah menjadi bualan hangat segenap masyarakat. Masalah pencemaran makanan ini semakin berleluasa dan semakin menjejaskan kesihatan para pelanggan.

Antara kes pencemaran makanan yang saya kesan kebelakangan ini ialah isu tentang perjumpaan ulat dan getah dalam makanan yang dibeli. Kes ulat dalam makanan itu berlaku di Kuala Pilah. Seorang suri rumah terkejut apabila bubur nasi yang dibeli di sebuah restoran makanan segera itu mengandungi ulat ketika mahu menyuapkan anaknya berusia tujuh bulan. Bagi kes pencemaran makanan iaitu perjumpaan getah dalam nasi lemak, berlaku di Georgetown iaitu seorang kanak-kanak berusia lapan tahun tercekik selepas tertelan getah gelang ketika menikmati sarapan nasi lemak yang dibeli di sebuah kedai makan. Namun, kanak-kanak itu bernasib baik kerana akhirnya dapat memuntahkan balik apa yang ditelannya dan menyelamatkan daripada tercekik.

Saya berpendapat bahawa kebanyakan pencemaran makanan ini berlaku kerana pengusaha makanan tidak mengambil berat tentang aspek kebersihan makanan yang dihidangkan dan hanya mementingkan keuntungan yang banyak sahaja.

Walaupun ada pihak berpendapat kes pencemaran makanan ini jarang berlaku, tetapi sebagai masyarakat yang prihatin, kita perlu mengambil berat isu ini dan mencari cara untuk menyelesaikannya. Saya cadangkan supaya pengusaha makanan perlu mengamalkan kebersihan diri, peralatan dapur dan makanan pada setiap masa. Amalan menjaga kebersihan peralatan dapur dan makanan dapat mengelakkan berlaku pencemaran makanan. Dapur yang kotor adalah 'tidak selamat' bagi memasak makanan, kerana kuman atau serangga akan tertarik untuk datang.

Selain itu, kebersihan makanan juga perlu diamalkan sebelum makanan itu dihidangkan. Oleh itu, buah-buahan dan sayursayuran perlu dibasuh sehingga bersih sebelum dimasak supaya tiada kuman atau serangga seperti ulat dimasak bersama-sama.

Kebersihan diri juga penting diamalkan. Kekemasan tukang masak itu perlu dipentingkan, Pakaian yang dipakai perlulah kemas. Barangan yang tidak digunakan perlu disimpan sebelum mula memasak supaya dapat mengelakkan “barang tambahan” itu jatuh ke dalam makanan semasa memasak seperti kes gelang getah yang dijumpai di dalam nasi lemak itu.

Sebagai masayarakat yang bijak dan prihatin. Masyarakat harus mengambil berat tentang kedai makan sama ada menjaga atau mengabaikan kebersihan. Masyarakat mepunyai hak untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa jika ada kedai makanan yang kotor. Pihak kerajaan seperti Pejabat Kesihatan perlu kerap melakukan pemeriksaan mengejut di semua kedai makan tanpa perlu menunggu laporan yang dibuat. Peniaga yang bersalah perlu dkenakan hukuman berat seperti dikenakan denda dan digantung lessen perniagaan sebagai iktibar kekotoran kedai mereka.

Kesimpulannya, saya ingin mohon supaya semua pihak memberi sepenuh perhatian dan dalam isu pencemaran makanan ini sebelum masalah ini menjadi semakin serius. Isu pencemaran makanan hanya dapat diatasi jika semua pihak memainkan peranan yang sewajarnya.

sumber : Harakahdaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...