Klik aje le

Tuesday, April 22, 2014

Kucing Guru: kisah ikut-ikutan dalam beragama



APR 22, 2014 USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL


Setiap kali mereka mahu bersembahyang di rumah ibadat itu, sang kucing menyelinap di celah-celah kaki mereka.

Mengganggu fokus.

Guru berpandangan, “ikat kucing berkenaan di tiang, sebelum kita memulakan sembahyang!”

Anak murid bersetuju, kucing berkenaan diikat di situ.

Demikianlah setiap kali mereka hendak beribadat, di tiang yang sama sang kucing itu akan diikat.

Hari duka, Guru meninggal dunia. Ibadat dipimpin guru yang baru pula.

Sang kucing masih seperti biasa, diikat di tiang sebelum sembahyang bermula.

Hari yang akan semua ingati, sang kucing mati.

Kucing baru diganti, untuk diikat di tiang, setiap kali sembahyang hendak dimulai!

Dan selepas beberapa zaman, ilmuwan-ilmuwan mengarang kitab tentang fadhilat mengikat kucing di tiang, sebelum jemaah mula bersembahyang!

TRAGEDI AGAMA YANG BUKAN LAGI DENGAN ILMU

Kisah The Guru’s Cat ini sudah biasa dibaca di sana sini. Kisah yang dibukukan di dalam koleksi kisah tentang kehidupan kita, di dalam buku The Song of the Bird oleh Anthony de Mello.

Nyata sekali, ia bukan kisah agama kita.

Tetapi agama kita memberi amaran yang sama.

Dalam iktibar kisah umat Nabi Nuh ‘alayhi al-Salam, Allah SWT mengingatkan:

“Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr. [Surah Nuh : 23]

Di dalam Sahih al-Bukhari (hadith nombor 4920), Ibn ‘Abbas menceritakan bahawa Wadd, Suwaa’, Yaghuth, Ya’uuq, serta Nasr ini adalah orang-orang soleh daripada kaum Nuh ‘alayhi al-Salam. Apabila orang-orang soleh ini meninggal dunia, Syaitan mengilhamkan kepada pengikut orang-orang soleh itu membuat patung yang kemudiannya dibawa dan diletakkan di dalam majlis-majlis mereka. Kemudian patung-patung itu diposisikan di tempat di mana para solehin itu pernah berada, bersama nama-nama menurut aturan asalnya.

Patung itu sekadar simbol.

Ia bukan sembahan.

Sekadar kenang-kenangan.

Mengenang orang-orang soleh yang pernah berjasa mendidik mereka.

Apabila generasi yang membuat patung-patung itu meninggal dunia, mati dan pergi bersama pengetahuan tentang tujuan asal ‘tugu peringatan’ itu dibina, akhirnya generasi yang menyusul, menyembah patung tersebut.

Tersebarlah syirik secara melata.

Bermula daripada pemujaan orang-orang soleh, dimanifestasikan dalam bentuk yang tidak disuruh agama, dengan alasan-alasan yang buat sementara ia selamat, untuk menjustifikasikannya. Namun sampai masa, ia mengundang SYIRIK yang sungguh MEMBINASA.

Demikianlah agama secara ikut-ikutan.

Agama tanpa ilmu.

Agama yang keliru antara menghormati orang soleh dan memanfaatkan keilmuan mereka, dengan memuja serta mengidolakan mereka.

Lena mata, lenakah jiwa memikirkannya?


http://saifulislam.com/
sumber : Harakahdaily

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...