Klik aje le

Sunday, April 27, 2014

MH370: Bluefin-21 hadapi masalah teknikal lagi

Bernama| Kemas kini: April 26, 2014
(Diterbitkan pada: April 26, 2014 15:27 MYT)

Kenderaan AUV Bluefin-21 - Gambar Fail

PERTH: Kenderaan Dalam Air Automatik (AUV), Bluefin-21 menghadapi masalah teknikal buat kali kedua pada Jumaat sejak pertama kali menjalankan misi dalam air bagi mencari lokasi pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang.

Pusat Penyelarasan Agensi Bersama (JACC), yang menyelia operasi mencari, berkata kenderaan automatik itu sekali lagi dinaikkan ke permukaan air semasa dalam proses untuk melakukan misi ke-13 pada Jumaat berikutan menghadapi masalah pada set perisian yang perlu diset semula.

Menurutnya peralatan teknikal pada AUV amat canggih, dan masalah perisian perlu diset semula merupakan perkara biasa dan masalah teknikal itu telah dapat diselesaikan malam tadi oleh juruteknik.
Sementara itu, misi ke-14 sedang dijalankan, menurut agensi itu dalam kenyataan pada Sabtu.

Pada 16 April, Bluefin-21, yang melakukan misi kedua telah menghadapi masalah teknikal yang memaksanya menghentikan misi itu dan naik ke permukaan air.

Bagaimanapun, ia kemudiannya dikerahkan semula untuk meneruskan misi pencarian dalam air pada hari yang sama selepas masalah itu diatasi.

Hari ini masuk hari ke-50 operasi mencari Penerbangan MH370, dan setakat ini tiada apa-apa ditemui yang ada kaitan dengan pesawat itu sama ada di permukaan air atau dalam air.

Bluefin-21 dikerahkan untuk menjalankan misi pertama pada 14 April dengan harapan untuk mengesan sebarang serpihan pesawat itu dalam air berikutan tiada lagi isyarat dikesan oleh alat Pengesan Pinger Ditunda sejak 8 April.

Ia dilengkapi sonar yang menggunakan bunyi akustik bagi menghasilkan peta 3D di dasar laut dan mengambil masa minimum 24 jam untuk menyelesaikan setiap misi termasuk empat jam untuk muat turun data dikumpul.

Setakat ini, misi pencarian Bluefin-21 telah meliputi 95 peratus kawasan pencarian dalam air yang telah dikenal pasti, menurut JACC.

Agensi itu berkata bagi operasi pencarian visual di permukaan air, Pihak Berkuasa Keselamatan Maritim Australia merancang kawasan pencarian seluas kira-kira 57,311 kilometer persegi dengan garis pusatnya kira-kira 1,584 km barat laut Perth.

Sebanyak lapan pesawat tentera dan 11 kapal meneruskan misi pencarian visual pada Sabtu.

"Cuaca hari ini diramalkan hujan sekejap-sekejap, angin barat laut bertiup pada kelajuan sehingga 20 knot, laut bergelora sehingga setinggi dua hingga 2.5 meter manakala jarak penglihatan kira-kira satu meter dalam ribut petir dan tiga kilometer dalam hujan," menurut agensi itu.

Penerbangan MH370 bersama-sama 239 orang hilang daripada imbasan radar ketika terbang di ruang udara Laut China Selatan pada 8 Mac setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 12.41 tengah malam.

Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama.

Gerakan mencari melibatkan pelbagai negara dilancarkan untuk mengesan pesawat Boeing 777-200 itu, mula-mula di Laut China Selatan dan kemudian di selatan Lautan Hindi apabila ia dikatakan melencong daripada laluan asalnya.

Selepas analisis terhadap data satelit menunjukkan kedudukan terakhir pesawat itu adalah di Lautan Hindi, di barat Perth, Australia, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada 24 Mac bahawa Penerbangan MH370 "berakhir di selatan Lautan Hindi".

sumber : Astro Awani

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...