Klik aje le

Tuesday, April 22, 2014

Pihak Berkuasa Pengangkutan Ditegur Isu Kemalangan Maut Bas





PETALING JAYA: Pihak berkuasa yang bertanggungjawab bagi pengangkutan jalan ditegur di atas kegagalan mereka untuk memperkenalkan sebarang pembaikan yang sewajarnya terhadap aspek keselamatan, khususnya melibatkan bas ekspres.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh), Tan Sri Lee Lam Thye, melahirkan rasa kecewa terhadap pihak berkuasa berhubung kegagalan mereka untuk melaksanakan 51 cadangan yang diusulkan oleh sebuah panel penasihat bebas bagi mengelakkan kemalangan maut yang melibatkan bas.

"Jika hanya beberapa yang dilakukan walaupun bukan semua, kita tidak perlu terus membaca berita-berita mengenai kemalangan maut membabitkan bas dalam akhbar," katanya dihubungi The Star pada Isnin.

Susulan beberapa kemalangan maut bas sejak beberapa tahun lepas, Lee bertindak untuk mempengerusikan panel bebas yang ditubuhkan untuk mengkaji semula pembaikan dalam menangani perkhidmatan yang dianggal kritikal itu.

Beliau berkata, amat mendukacitakan sekiranya usaha panel bebas yang melibatkan pakar dalam pelbagai bidang seperti jalan dan rekaan bas dibazirkan begitu sahaja.

"Cukup diperkatakan mengenai isu dengan maklum balas dan cadangan yang cukup telah dikemukakan," katanya.

Lee menggesa pihak berkuasa seperti Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Puspakom, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan pengendali perkhidmatan bas supaya mula melaksanakan cadangan-cadangan tersebut sebelum berlakunya kemalangan lain, pada masa akan datang.

Setiausaha Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Paul Selvaraj berkata SPAD perlu mengkaji semula fungsinya yang dilihat tidak melakukan tindakan.

"SPAD perlu bertanggungjawab kerana mereka adalah pengawal selia bagi pengangkutan awam di negara ini.

"Mereka perlu mengambil langkah-langkah yang penting sekarang walaupun ia tidak akan dilakukan oleh pengusaha bas kerana nyawa penumpang seharusnya diberikan keutamaan," katanya.

Pada Ahad lalu, bas ekspres dua tingkat terjunam ke dalam gaung di Jalan Kuantan-Segamat yang menyebabkan kematian penumpang.

Bas itu yang membawa kira-kira 40 penumpang dalam kemalangan yang berlaku berhampiran ladang Sungai Jernih kira-kira pukul 4.40 petang.

Ia merupakan kejadian ketiga melibatkan bas ekspres di Pahang sejak lapan hari lalu.

Sebuah bas Etika Express merempuh pembahagi jalan di Lebuhraya Pantai Timur dan berpusing beberapa kali pada Sabtu, mengakibatkan sebahagian 28 penumpangnya cedera.

Pada 12 April, bas Transnasional dua tingkat melanggar tiang elektrik dan terbalik di Bentong, mengorbankan tiga penumpang.

Bagaimanapun, SPAD memberi amaran bahawa penggantungan segera terhadap pengusaha bas yang terbabit dalam kemalang maut bas boleh menyebabkan penumpang terpaksa terkandas di terminal bas.

"Jika saya menggantung perkhidmatan pengusaha bas, rakyat tidak akan mempunyai sebarang pengangkutan. Saya fikir kita perlu mencari jalan, tetapi kita akan melihat sama ada penggantungan itu akan berkesan atau tidak," kata Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar.

Syed Hamid berkata, mengenai lesen bas, pemandu mereka di bawah kategori Perkhidmatan Kenderaan Awam, yang tidak diuruskan oleh SPAD tetapi oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Beliau menambah pada dasarnya, pihak berkuasa seperti JPJ dan polis boleh menjalankan pemeriksaan di semua terminal bas di negara ini, walaupun ini akan menjadi perkara yang sukar untuk dijadikan sebagai amalan.

Beliau turut menasihati pemandu bas yang merasakan seperti mereka dipaksa bekerja perlu melaporkan perkara itu kepada Kementerian Sumber Manusia.

sumber: mStar Online (22 April 2014)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...