Klik aje le

Tuesday, April 22, 2014

Stereostar Clothingdidik remaja Muslim

Oleh ALIF ABU BAKAR



PERANAN simbol, nombor dan tulisan jawi dapat membantu anak-anak muda memahami konsep asas Islam menerusi fesyen.

MENERAPKAN konsep Islamik dalam genre fesyen jalanan ada risikonya. Sinikal masyarakat terhadap gaya keagamaan sedemikian belum berubah. Pada pandangan mereka, baju-T bercoret kata-kata dakwah tidak menepati suasana pluralisme di negara ini.

Memang kebanyakan baju-T dengan rekaan Islamik bertujuan untuk mengajak orang Muslim di Malaysia berbangga dengan Islam. Apakan daya, penggunaan corak, warna, material dan pendekatan lapuk membuatkan ia kurang diminati.

Lokasi jualan di sekitar masjid dan tapak-tapak majlis keagamaan juga mengehadkan sesi pendakwahan langsung kepada masyarakat.

Jika dibandingkan bersama label antarabangsa seperti Design Molvi dan Justmuslim, kita masih ketinggalan dari segi teknik penyebaran ideologi agama menerusi fesyen.

Dua jenama dari United Kingdom itu bijak bermain dengan cetakan kreatif menggunakan frasa-frasa ringkas tetapi cukup magnetik untuk membangkitkan kebanggaan diri seorang Muslim.

Untuk permulaan, Malaysia kini mempunyai Stereostar Clothing (Stereostar). Diperkenalkan pada awal tahun 2013, label itu berusaha menampilkan fesyen jalanan berkonsep Islamik yang urban dan moden. Eksperimen sederhana mereka kini meraih minat Muslim tempatan khususnya remaja.

Pereka Stereostar, Hafizal Nasir membangunkan label itu secara solo pada awalnya. Dia banyak melibatkan diri dengan majlis-majlis agama seperti kuliah dan ceramah di masjid. Ketika itu, Hafizal, 32, hanya membekalkan rekaannya kepada peniaga-peniaga baju-T.

Penampilan sulung Hafizal di bawah jenama Stereostar adalah di bazar fesyen jalanan terbesar tanah air, Tempatan Fest 3.0 di Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur hujung tahun lalu.

“Eksperimen awal saya adalah dengan mengeluarkan 100 helai baju-T edisi terhad dengan rekaan Islamik yang agak sarat mesejnya. Namun, ia habis dijual dan menerima sambutan di luar dugaan.

“Dari situ saya sedar bahawa konsep Islamik ada pasaran yang positif. Justeru, saya mengumpulkan beberapa ahli dan kini Stereostar diterajui empat individu,” jelas Hafizal ketika ditemui Kosmo! di Studio Utusan Melayu (M) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Rekaan

Dalam tempoh tidak mencecah setahun, Stereostar telah berjaya membariskan 10 hingga 12 rekaan meliputi baju-T lengan pendek dan panjang, baju panas (sweatshirt), hoodie dan topi snapback.

Tiga warna teras iaitu hitam, putih dan merah pula mendukung falsafah eksklusif yang dikendong Stereostar. Dominan hitam dalam setiap rekaan membezakan mereka daripada pakaian Islamik lain yang menggemari rona-rona terang.

Pemilihan warna asas tersebut diharapkan dapat mengubah tanggapan masyarakat terhadap nilai eksklusif pakaian bercorak Islamik. Stereostar mengetengahkan prestij, moden dan urban dalam setiap rekaan mereka.

“Kami tidak meletakkan had usia pelanggan tetapi ia diharapkan mampu menarik ramai anak muda untuk membeli baju berkonsep Islamik.

“Kalau rekaan spesifik dakwah orang tak mahu pakai sebab agak konvensional dari segi rekaan, gaya dan tidak kelihatan trendy,” ujar Hafizal.

Di sebalik kesungguhan Stereostar memperbaharui fesyen jalanan Islamik di negara ini, timbul teguran-teguran kurang manis daripada segelintir pihak. Ada pihak yang mempersoalkan arah dakwah yang cuba disebarkan Stereostar kepada anak-anak muda.


PEMILIHAN hitam dan putih sebagai warna teras jenama menyerlahkan sisi eksklusif Stereostar.


Mesej

Tegas Hafizal, pada peringkat pengenalan ini, Stereostar tidak berhajat untuk mengangkat label mereka sebagai jenama dakwah moden. Setiap helaian yang dikeluarkan mengandungi mesej keagamaan ringkas tetapi tidak condong berat kepada dakwah.

Sekiranya sambutan terhadap jenama mereka meningkat dari semasa ke semasa, barulah perancangan terhadap rekaan yang tinggi nilai Islamik dilancarkan.

Begitupun, tambah Hafizal, pihaknya telah mendapatkan nasihat dan penjelasan ilmiah daripada beberapa tokoh agama berkenaan fesyen berkonsep Islamik. Jelasnya, selagi ia berlandaskan Islam, ia tidak mengundang masalah malah dikira sebagai satu perjuangan ke arah dakwah.

“Jenama yang memfokuskan kepada usaha dakwah pun menyokong usaha kami. Mereka melihat ia sebagai satu pembaharuan dan secara tidak langsung membuka jalan kepada mereka untuk berkarya secara kreatif,” dedah Hafizal.

Penggunaan perkataan campuran jawi dan rumi menjadi identiti Stereostar. Mereka mahu membuktikan bahawa baju bertulisan jawi bukan hanya dipakai di surau atau masjid. Ia juga sesuai dikenakan untuk pelbagai masa dan suasana.

Penggunaan frasa seperti Muslim Attitude, Muslim Proud dan I am Hamba pada baju-baju Stereostar membuatkan ia mudah menangkap minat remaja. Penetapan perkataan tersebut dibuat berdasarkan cerminan peribadi seorang Muslim. Hamba misalnya menggambarkan individu yang tawaduk dan tahu kedudukannya di sisi Allah.

Nombor-nombor yang ditampilkan juga ada makna tertentu. Nombor 99 contohnya mewakili 99 nama Allah manakala nombor tujuh boleh melambangkan variasi mesej dalam Islam seperti tujuh lapisan langit, lautan, syurga dan neraka serta ia merupakan nombor kegemaran Rasulullah SAW.

Simbol

Simbol ketara Islam iaitu bulan dan bintang pula diolah segar dalam rekaan moden. Secara realistik, penggunaan lambang Islamik adalah lebih baik berbanding logo ideologi Barat yang kurang jelas maknanya.

Pendekatan tersebut secara tidak langsung menunjukkan bahawa konsep dakwah tidak semestinya muncul dalam bentuk potongan hadis atau ayat al-Quran. Menerusi fesyen, definisi dan medium dakwah dapat diperluaskan.

Sementara itu, untuk masa ini, Stereostar fokus kepada pakaian lelaki sahaja. Namun yang mengejutkan, pelanggan mereka kebanyakannya terdiri daripada pelajar perempuan. Begitupun, mereka tidak melarang sesiapa untuk membeli tetapi wanita perlu mengikut etika pemakaian yang tepat.

“Pakaian konsep Islamik agak sensitif. Sebagai pereka dan penjual kami berasa bertanggungjawab untuk mendidik Muslim di negara ini berpakaian menutup aurat dengan cara betul.

“Justeru, kami sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan koleksi Muslimah yang mematuhi potongan dan aurat wanita,” ujar Hafizal yang juga memberitahu mereka juga mempunyai pelanggan dari Brunei dan Singapura.

Baju-baju Stereostar diperbuat menggunakan 100 peratus material kapas bersaiz XS hingga XXL.

sumber : Kosmo! Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...