Klik aje le

Thursday, May 1, 2014

100,000 sertai Himpunan Bantah GST

HARAKAHDAILY | 01 Mei 2014.








KUALA LUMPUR: Kota raya Kuala Lumpur dibanjiri para peserta Himpunan 501 Bantah GST anjuran NGO 89, juga disertai komponen parti dalam Pakatan Rakyat. Dengan memakai baju berwarna merah, mereka mula berkumpul sejak subuh lagi.

Beberapa tempat ditetapkan penganjur sebagai tempat perkumpulan awal sebelum bergerak menuju ke Jalan Raja, Dataran Merdeka. Antaranya termasuklah, Masjid Negara, Dataran Maybank, KLCC dan Sogo.

Perhimpunan hari ini turut mendapat kerjasama pihak polis dan penganjur dibenarkan berhimpun di Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka.

Polis bagaimanapun menegaskan peserta himpunan tidak boleh memasuki padang Dataran Merdeka kerana ia sedang dalam proses menaik taraf.

GST diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan bajet 2014 Oktober lalu, akan dilaksanakan pada April 2015.

[LAPORAN OLEH: SALMIYAH, FAIZAL, HAZAYANI, FAEEZ, MAJDAN, NAZRI, AZMI, AHMAD TAJDID | FOTO NASIR SUDIN]


4.30 PM: Penganjur mengumumkan himpunan tamat. Ia diakhiri dengan bacaan doa oleh Ketua Dewan Ulamak PAS Johor yang juga Adun Puteri Wangsa Ust Abdullah Husin. Peserta dinasihatkan bersurai secara aman.


4.18 PM: Anwar Ibrahim mengambil pentas diambut sorakan daripada hadirin.


"Hari ini kita dikejutkan dengan kebangkitan rakyat. RTM, TV3 lapor tak lebih 1000 orang hadir," katanya.


"Kita terharu dengan dokongan rakyat. Kita rasa apa yang rakyat rasa. Sebab itu kita guna jalan raya


"Menteri BN faham? mereka tak faham," katanya lagi.




Beliau juga berkata perjuangan rakyat belum selesai. Pilihan Raya masih lagi kotor. Selagi ia kotor, rakyat katanya tidak akan menang sampai bila-bila.

"Kita tak nak tunggu PRU akan datang. Kita tuntut perubahan dilakukan sekarang. Kita tidak mahu tunggu empat tahun lagi," kata Anwar.

4.15 PM: Tian Chua berucap. Beliau ucap tahniah kepada BN.


"Kerana sikap pemimpin BN kita disini bersatu semua kaum," katanya.


Katanya, rakyat bukan hanya menolak GST, tapi menolak semua dasar yang zalim.


4.10 PM: AJK PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad berucap. Terdahulu Ambiga dan Syed Shahir berucap. Dzulkefly melaungkan GST "Gasak Sampai Tertunggeng".


"Najib kata, mereka sangat perihatin kepada rakyat. Dia kata dulu dua cukai sekarang satu.


"Dia tanya apa lagi rakyat mahu. Mereka akan dapat RM20 bilion hasil memerah keringat rakyat," katanya.




4.05 PM: Adun Changkat Jering Mohmmad Nizar Jamaluddin berucap. Beliau berkata Umno akan tumbang kerana kezaliman mereka. Rakyat akan lawan sampai Umno tumbang.


4.00 PM: Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berucap. Beliau mengimbau kembali kisah zaman reformasi tahun 1998. Beliau juga menceritakan semula pengainayaan terhadap Anwar Ibrahim.


Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Mohamad Sabu selaku penganjur di atas kejayaan himpunan kali ini.


Beliau turut menggelarkan Mohamad Sabu sebagai "Imam jalan raya".


3.55 PM: Mohamad Sabu sekali lagi berucap sebagai selingan. Beliau meminta peserta tunggu sehingga majlis selesai dengan berkata, "kita selesai, sempat solat Asar".

"Kita tunggu sehingga ucapan Anwar. Mungkin ini kali terakhir ucapan Anwar kepada kita," katanya merujuk hukuman penjara yang dikenakan kepada Anwar.




3.52 PM: Ahli Parlimen Kuala Nerus Dr Khairuddin Aman Razali mula berucap. Beliau memulakan ucapan dengan berkata "GST adalah zalim".

Ini kerana cukai ini katanya dikenakan kepada semua orang termasuk orang miskin. Dalam masa yang sama kerajaan pula terus berboros.

"Himpunan ini adalah jihad. Pertemuan kita hari ini adalh jihad. Jihad menentang pemborosan".

"Jihad ini perlu diteruskan sehingga BN tumbang pada pilihan raya akan datang," katanya.




3.50 PM: Keadaan langit mula gelap, guruh mula berbunyi. Dataran Merdeka masih penuh dengan lautan manusia.


Peserta tidak berganjak walaupun ada tanda-tanda menunjukkan akan hujan.

3.47 PM: Ahli Parlimen Batu Gajah V Sivakumar pula berucap.

"Hujan, jangan turun dulu," katanya memulakan ucapan.

Beliau turut menggesa semua beserta tidak berganjak sekalipun hujan turun.


3.45 PM: Pengerusi majlis mengumumkan ketibaan kumpulan daripada KLCC baru sahaja tiba.




3.40 PM: Ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad mengambil giliran. Beliau berkata himpunan hari ini tanda penyatuan kaum membantah GST.

"GST dilaksana ini kerana duit kita tak ada. Satiap tahun laporan ketua audit negara kata berlaku pembaziran, tapi kerajaan ambil pengajaran atau tidak? soalnya disambut laungan 'tidak' oleh hadirin.

"Kalau macam ini punya gaya, air di lautan atlantik pun boleh habis," katanya.




3.30 PM: Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berucap. Beliau berkata himpunan hari ini adalah satu kejayaan besar selepas beberapa kali himpunan besar yang dilakukan sebelum ini.


3.25 PM: Wakil Dewan Muslimat, Aiman Athirah berucap. Beliau mengajak rakyat untuk terus mendesak kerajaan agar menghapuskan GST.


3.20 PM: Pengerusi Majlis, Nasaie Ismail menyatakan himpunan hari ini akan berlangsung panjang dan meminta peserta bersabar dan akan diisi dengan program oleh penganjur.


3.18 PM: Naib Presiden PAS Salahudin Ayub berucap. Beliau berkata, himpunan hari ini lebih daripada 100,000 orang. Ini mendakan bukti rakyat menolak apa yang BN lakukan.



3.15 PM: Mohamad Sabu sekali lagi berucap sebagai Timbalan Presiden PAS. Beliau berkata kerajaan tidak faham bahasa rakyat dan kali ini rakyat menggunakan bahasa jalan raya.

Kaedah jalan raya ini katanya telah berjaya mendesak kerajaan sebelum ini dalm isu ISA dan PPSMI.


3.12 PM: Sepanjang Jalan Raja dipenuhi dengan lautan peserta berpakaian merah. Dianggarkan hampir 50,000 sudah berada di sini ketika ini.

Kumpulan dari KLCC akan tiba di sini sedikit masa lagi.

Wartawan Harakahdaily di Jalan Raja melaporkan talian komunikasi mula terganggu.


3.10 PM: Azmin Ali pula berucap. Beliau berkata perhimpunan rakyat hari ini sesuatu yang luar biasa, semua rakyat bangkit untuk tolak umno BN, bukan sahaja menentang GST tetapi kita tentang seluruh dasar zalim yang menekan rakyat.

"Umno mendakwa mereka mendapat RM3.8 bilion dari GST, tetapi syarikat besar dikecualikan dari cukai...Najib kena jawab," kata beliau.

3.05 PM: Presiden PKR, Datuk Dr Wan Azizah Ismail mula berucap. Beliau berkata kaum wanita turut terasa jika GST ini dilaksanakan.

"Kita akan tentang gst sampai habis-habisan, kita akan guna kuasa rakyat untuk tentang pelaksanaannya," katanya.



3.00 PM: Suhaizan berkata, kita berhimpun kerana hendak tolak GST, kita ingin desak kerajaan tarik balik gst. Kita berhimpun untuk tentang GST yang zalim, menindas rakyat. Kita akan tentang....BN zalim sebab ingin laksanakan GST. Kita akan tentang mereka pada pru14 nanti.

2.55 PM: Giliran Mohamad Sabu selaku komander himpunan memberi ucapan. Beliau berkata peserta tidak akan masuk ke padang, tetapi akan penuhkan jalan raya di sini, dan meminta peserta menunjukkan disiplin.

Mereka akan menunggu kumpulan dari KLCC tiba sedikit masa lagi.

"Kita akan berada di sini sampai arahan bersurai. Kita berhimpun secara aman. Sekarang semua di bawah arahan saya," katanya.

2.50 PM: Lebih 40,000 dianggar sudah memenuhi Jalan Raja di Dataran Merdeka ini. Bagaimanapun beberapa kumpulan lagi belum tiba termasuk kumpulan dari KLCC.



2.45 PM: Mahfuz dalam ucapannya berkata, perhimpunan hari ini merupakan sesuatu yang bersejarah. Ia bukan sahaja bagi rakyat menyatakan bantahan terhadap GST, tetaoi menjadi sebahagian daripada produk pelancongan.

"Kita harap setiap 1 Mei akan ada himpunan dan pihak kementerian pelancongan boleh setuju," katanya.

2.43 PM: Kelihatan Datuk Seri Anwar dan Wan Azizah juga tiba dan memasuki Jalan Raja menuju ke pentas.

2.40 PM: Dj Jalan Raja, berhadapan Bangunan Sultan Abdul Samad kelihatan Suhaizan, Mahfuz, Khalid Samad serta Azmin Ali berada di atas lori.

Mereka dijangka antara pimpinan utama yang akan berucap awal.

2.36 PM: Kumpulan dari Masjid Negara juga tiba di Jalan Raja Dataran Merdeka sebentar tadi.Kumpulan peserta yang berarak dari Sogo juga mula tiba di Dataran Merdeka.

Persimpangan Jalan Tun Perak, Jalan Raja dan Jalan Tunku Abdul Rakmah dipenuhi dengan lautan peserta.

2.30 PM: Peserta mula memasuki kawasan Jalan Raja, Dataran Merdeka. Kumpulan pertama tiba di sini adalah dari Masjid Jamek dan Dataran Maybank.

Mereka menuggu kehadiran kumpulan dari beberapa lokasi lain.


2.25 PM: Pasukan dari KLCC sedang bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Turut bergerak dari sini Datuk Ambiga Sreenevasan. Beliau turut menyampaikan ucapan sebentar tadi sebelum perarakan dimulakan.







2.20 PM: Peserta dari Sogo mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Beberapa pepimpin utamamengetuai perarakan dengan pasukan Unit Amal mengawal laulintas.

2.17 PM: Jalan Tun Perak yang ditutp kini dilimapahi peserta yang bergabung dari Masjid Jamek dan Dataran Maybank. Dianggarkan hampir 10,000 dar jalan tersebut sedang bergerak ke Dataran Merdeka.

Suasana di sini agak meriah dengan kehadiran peserta dari pelbagai kaum. Mereka menggunakan kreativiti masing-masing bagi menyampaikan mesej bantahan.

2.15 PM: Kumpulan dari menara Maybank yang bergerak sebentar tadi mula bergabung dengan kumpulan di Masjid Jamek. Mereka kini menuju ke Dataran Merdeka.


2.13: PM: Di Masjid Negara, peserta mula bergerak ke Jalan Raja, Datara Merdeka. Dianggar lebih 10,000 berarak dari sini.

2.11 PM: Di Sogo, orang ramai mula tidak sabar untuk bergerak ke Dataran Merdeka.

Ada di kalangan mereka menjerit kepada penganjur;

"Tak payah ceramah panjang dah, jom kita gerak terus,".

Peserta himpunan hampir melimpah jalan menyebabkan lalulintas sesak. Hanya dua laluan dibuka. Pasukan unit Amal mengawal lalulintas.



2.10 PM: Di Masjid Negara, Suhaizan dalam ucapannya berkata ;

"Jika ada provokator, sila tangkap dan serahkan kepada pimpinan atau pihak berkuasa. Dan jika ada di kalangan peserta di luar kawalan, mohon kenal pasti dan beri nasihat," katanya.

2.09 PM: Di KLCC, lebih 3,000 berkumpul di sini. Seramai 200 anggota marshal SAMM berkawal dan akan mengepalai perarakan dari sini.



2.08 PM: Di Sogo,peserta masih menunggu arahan sebelum bergerak ke Dataran Merdeka. Sementara menunggu, ada yang menyanyi dan melaungkan laungan Hidup Rakyat.

2.06 PM: Di Dataran Maybank, lebih 5,000 peserta berada di sini. Mereka mula bergerak menuju ke Dataran Merdeka. Pelbagai pelekat mengandungi mesej bantahan dipamerkan peserta.


2.05 PM: Di Sogo, dianggarkan lebih 3,000 berada di sini.

Antara pemimpin yang ada di sini termasuk Mohamad Sabu, Salahudin Ayub, Hanipa Maidin, Mazlan Aliman, Sivarasa Rasiah dan Fuziah Salleh.

Sebahagian peserta dari sini sudah bergerak menuju ke Dataran Merdeka.



2.00 PM: Pihak polis menutup lalulintas di Jalan Tun Perak menuju ke Dataran Merdeka selepas peserta himpunan memenuhi sepanjang jalan itu.

Aliran trafik dipesong ke arah lain. Kelihatan juga para peniaga tidak melepaskan peluang menjual barangan mereka.



1.58 PM: Di Masjid Negara, beberapa pimpinan utama Pakatan Rakyat di sini memulakan ucapan awal sebelum bergerak ke Jalan Raja.

Antara yang berucap membakar semangat termasuklah Datuk Mahfuz Omar, Dr Hatta Mohd Rami, Khalid Abdul Samad Dr Khairuddin Aman Razali, Suhaizan Kaiat serta Datuk Saifuddin Nasution.

Suhaizan bertindak sebagai komander bagi kumpulan di sini.

1.55 PM: Setakat ini, tiada sebarang insiden tidak diingini dilaporkan berlaku. Pihak polis memberi kerjasama sepenuhnya, manakala pasukan unit amal dilihat berkawal mengendalikan peserta himpunan di tempat-tempat perkumpulan.

1.50 PM: Pelekat provakasi terus ditemui di kawasan Masjid Negara. Antara lain menyebut 'Hudud for all muslim and non muslim'.

1.45 PM: Di Masjid Jamek, sekumpulan anak muda mengenakan lilitan di kepala sebagai tanda bantahan terhadap GST. Kedengaran juga bunyi tiupan Vuvuzela sepanjang jalan menuju ke Dataran Merdeka. Dinggar lebih 3,000 berada di sini.

1.40 PM: Jalan menuju ke Dataran Merdeka dari Masjid Jamek mula sesak. Peserta dari sini meula bergerak ke Jalan Raja.

1.35 PM: Di Masjid Negara, beberapa pemimpin muda berucap. Mengarahkan peserta berkumpul dan menunggu rakan-rakan lain tiba sebelum bergerak ke Jalan Raja.

1.30 PM: Di Masjid Jamek, orang ramai terpaksa bersolat Zohor di kaki lima masjid ekoran ruang dalam masjid penuh. Orang ramai mula berkumpul di sini sejak jam 12 tengahari tadi.



Di sini, mereka baru sahaja selesai solat, dan berkumpul di kawasan perkarangan masjid, malah ada yang sudah bergerak ke Jalan Raja, Dataran Merdeka. Peserta muslimat turut menunaikan solat di sini.

Ada peserta mengatakan suasana solat zohor di sini hari ini sama seperti solat Jumaat.



1.25 PM: Kawasan perkarangan Masjid Negara mula dipenuhi orang ramai. Dianggarkan lebih 2000 orang sudah berada di sini. Mereka melaugkan takbir sejak dari selesai solat Zohor sebentar tadi.

1.20 PM: Peserta di Masjid Negara selesai menunaikan solat Zohor. Mereka kini turun berkumpul di perkarangan masjid sebelum berarak menuju ke Jalan Raja.





1.18 PM: Kelihatan pasukan Unit Amal PAS, yang terkenal dengan jolokan tentera merah, mengambil lokasi masing-masing di sekitar Dataran Merdeka yang menjadi tempat utama Himpunan Turun 501 hari ini.

Mereka diberi tanggungjawab berkerjasama dengan pihak polis dalam menjaga keselamatan peserta himpunan hari ini.



1.15 PM: Sebahagian peserta dilihat memenuhi setesen komuter dan LRT menuju ke kawasan perkumpulan sebelum menuju ke Jalan Raja, Dataran Merdeka.



Di kawasan sekitar Dataran Mereka, ada yang sudah tiba awal dan berkumpul di situ sementara menanti kehadiran peserta dari tempat-tempat perkumpulan awal yang ditetapkan penganjur.




1.13 PM: Laungan Azan berkumandang di Masjid Negara, peserta dengan berpakaian merah dilihat mula bersiap untuk solat zohor.



1.10 PM: Jabatan Undang-undang dan Hak Asasi manusia (Juham) membuka bilik gerakan sempena himpunan kali ini.

Sebarang kes tangkapan dan provokasi boleh dilaporkan ke nombor 011-23517748 dan 011-23517743. Sertakan Nama , No Kad Pengenalan, Tarikh dan Masa tangkapan dan balai yang ditahan.

1.05 PM: Dewan Ulamak PAS Pusat memaklumkan lebih kurang 63 orang ulamak dan ustaz dari dewan itu menyertai himpunan hari ini.

Ketua Penerangannya, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali berkata, kesemua pasukan kepimpinan ulamak berhimpun di Masjid Negara.

Mereka kini sedang diberi taklimat untuk pergerakan ke Jalan Raja.

Mereka akan bergerak ke Jalan Raja, Datan Merdeka sejurus selesai solat Zohor.

1.00 PM: Peserta himpunan mula memenuhi kawasan pra perhimpunan yang ditetapkan penganjur iaitu termasuklah, Masjid Negara, Dataran Maybank, KLCC dan Sogo.

Peserta yang beragama Islam dilihat sedang membuat persiapan untuk menunaikan solat zohor.

Penganjur menasihatkan Orang ramai yang mahu meyertai himpunan ini menggunakan pengangkutan awam. 

- HARAKAHDAILY 1/5/2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...