Klik aje le

Monday, May 26, 2014

'Islam buat hidup kami indah'

20 pasangan pengantin mualaf merakam kenangan bersama selepas diraikan di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Daerah Kuala Selangor.

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Mei 2014

KUALA SELANGOR - “Didikan agama dan hidup ikut syariat Islam akan dijadikan landasan hidup kami suami isteri,” kata mualaf, Adam Daniel Wong, 27, ketika diraikan bersama 20 pasangan pengantin mualaf sempena Program Jalinan Kasih Walimatul Urus Mualaf Mega Daerah Kuala Selangor di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Daerah Kuala Selangor, semalam.

Menurutnya, tanggungjawabnya sebagai seorang Muslim dan memimpin keluarga kecilnya bukan mudah, namun sokongan keluarga kedua belah pihak menjadikan dia terus tabah mengharungi dugaan sebagai seorang mualaf.

“Memang tak nafikan ada susah senangnya, tapi saya bersyukur sebab ibu amat memahami hasrat saya untuk berhijrah pada tiga tahun lalu. Masa mula-mula peluk Islam, saya tak kenal pun isteri saya.

“Mungkin ramai anggap saya peluk Islam sebab isteri orang Melayu. Namun, hakikatnya saya berhijrah sebelum mengenali isteri. Masa itu mungkin hati saya tergerak mendalami Islam dan dikelilingi orang Islam.

“Mungkin dah diberi hidayah, saya terus nekad peluk Islam dan saya bertemu dengan isteri selepas lapan bulan peluk Islam. Hati mana tak gembira bila ditemani insan tersayang yang banyak bantu saya dalami Islam,” katanya.

Isterinya, Nurrita Bahram, 27, berkata, dia pun tak sangka akan diraikan dalam majlis yang cukup meriah meskipun sebelum ini majlis persandingan sama turut diadakan di kedua belah keluarga.

“Saya bersyukur kerana kami bertemu jodoh walaupun bukan sesama bangsa tapi semua itu mewarnai hidup dan ikatan persaudaraan kami selama ini. Keluarga dua pihak pun merestui hubungan kami,” katanya.


Saudara menjadi pendorong

Seorang lagi pasangan mualaf, Zainal Abdullah, 34, dan Nurbanu Abdullah, 31, tidak menolak penghijrahan saudara mara memeluk Islam menjadi antara pendorong mereka berhijrah.

Bagi Zainal, kebanyakan ahli keluarganya ramai memeluk Islam dan apabila meneliti cara hidup mereka cukup berbeza dan lebih tertib mengikut syariat Islam menjadikan dia tertarik memeluk Islam.

“Bila saya tengok cara hidup mereka yang dah berbeza, saya jadi tertarik sebab memang dah tak sama seperti dulu. Rumah pun jadi lebih bersih sebab kita jadikan ruang untuk solat dan segala-galanya nampak indah.

“Saya nampak indah dan damai saja. Mungkin itu penyebab saya mahu memeluk Islam. Kedamaian dalam hati amat penting sebab kita mahu sentiasa dekat dengan ALLAH tak kira susah mahupun senang.

“Bila saya peluk Islam, saya suka ikut kelas bimbingan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor (Paidks). Mereka ajar kita dari panduan asas. Isteri pun seronok belajar sebab boleh mengaji dan solat dengan betul,” katanya.

Nurbanu berkata, kelas bimbingan setiap minggu itu menjadikan pengajaran agama lebih mudah sebab kelas dibuat berhampiran kawasan rumah mana-mana mualaf yang berdaftar di bawah Paidks.

“Saya tak nafikan seronok bila dapat belajar mengaji al-Quran dan solat berjemaah. Hati lebih tenang dan saya kenal dengan suami pun masa kami berjumpa dalam majlis perkahwinan saudara Islam,” katanya yang cukup seronok apabila menyertai persandingan perdana itu.

Bagi pasangan Mohd Faizal Abdullah, 31, dan isterinya, Siti Farah Abdullah, 28, majlis persandingan ini memberi kenangan cukup indah dan membuatkan hidup mereka lebih dihargai.

“Saya seperti bermimpi bila ada pihak sanggup menaja persandingan kami dan lebih meriah apabila diraikan bersama pasangan mualaf yang lain. Saya amat gembira dan bersyukur,” katanya.


Nasib mualaf tak diketepikan

Pengarah program, Mohd Hafiz Maslan berkata, program itu salah satu bukti keprihatinan pihak Paidks bersama Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) meraikan golongan mualaf yang ada di daerah ini.

“Bukan saja mereka dibimbing secara rohani, tapi Paidks juga berperanan meraikan mereka supaya rasa dihargai selepas memeluk Islam. Program ini pun julung kali diadakan untuk mereka.

Tak nafikan, ramai mualaf didaftarkan dengan Mais akan ikut kelas agama yang dibimbing panel dakwah mualaf bertauliah di 10 kawasan di daerah ini antaranya seperti di Desa Coalfields, Bestari Jaya dan Kuala Selangor.

“Kebanyakan mereka yang memeluk Islam berdepan banyak dugaan seperti dibuang keluarga, jadi Paidks berperanan beri motivasi diri dan bantuan meneruskan hidup sebagai Muslim dan Muslimah sejati,” katanya.

Program besar-besaran dan amat meriah ini telah dirasmikan wakil Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri Selangor, Zaidy Abdul Talib.

Turut hadir ialah Pegawai Tadbir Agama Daerah Kuala Selangor, Abdul Rahim Salleh.

sumber : Sinar Harian Online

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...