Klik aje le

Friday, June 20, 2014

Adios, 'La Roja' Sepanyol!


Oleh Radzi Razak


Selepas mendominasi kejohanan dunia sejak 2010 bisa 'tiki taka' pasukan 'La Roja' Sepanyol hilang sama sekali apabila dibenam pasukan Chile 2-0 awal pagi tadi.

Wajah muram jurulatih Vincente Del Bosque dan beberapa pemain Sepanyol lain sewaktu menuju ke bilik persalinan sejurus pengadil meniup wisel tamat permainan.


Hal ini mengingatkan kepada sumpahan juara bertahan melanda juara Piala Dunia dari benua Eropah - Perancis dan Itali.

Juara 1998 Perancis disingkirkan tanpa sebarang mata pada edisi 2002 sementara Itali yang memenangi piala keempat mereka pada 2006 tersingkir pada peringkat kumpulan pada 2010.

Kini Sepanyol perlu berusaha menebus maruah dan menewaskan satu lagi pasukan yang sudah tersingkir iaitu wakil Asia Australia bagi mengelakkan sejarah Perancis berulang dan melengkapkan jadual perlawanan.

Prestasi hambar Sepanyol yang meninggalkan pemain utamanya Gerald Pique dan Xavi di bangku simpanan dihukum seawal minit ke-20 permainan apabila Eduardo Vargas menyelesaikan umpanan Carlos Aranguiz.

Aranguiz kemudiannya menambah keperitan Sepanyol untuk bangkit kembali dengan tendangan bebas Alexis Sanchez seminit sebelum separuh masa pertama berakhir.

Peluang terbaik Sepanyol hanya hadir pada minit ke-53, namun sungkitan Sergio Busquets gagal menepati sasaran.

Pertanyaan paling kerap bermain di benak penyokong Sepanyol mungkin penggunaan Diego Costa yang nyata tidak membantu serangan juara bertahan ini.

Cipta serangan

Malah selepas kemasukan Santi Carzola menggantikan pemain kelahiran Brazil yang sentiasa diboo penyokong itu, lebih banyak mencipta serangan tercipta.

Sementara itu di satu lagi perlawanan Kumpulan B Belanda dan Australia mungkin perlawanan paling menarik setakat ini.

Saling berbalas menyerang dan permainan terbuka serta pantas kedua-dua pasukan menyebabkan perlawanan ini dirasakan berakhir terlalu cepat.

Belanda yang membuka jaringan menerusi larian solo pemain paling pantas mereka Arjen Robben tersentak apabila Australia menyamakan kedudukan tidak sampai seminit kemudian menerusi rembatan 'half-volley' pemain veteran Tim Cahill.

Skuad Louis Van Gaal selepas itu tersentak apabila skuad Kangaroos itu mendapat sepakan penalti yang disempurnakan Mile Jenidak pada minit ke-54.

Namun Kapten Robin van Persie dengan tenang menyempurnakan hantaran 'lembut' Wesley Sneijder empat minit kemudian sebelum pemain gantian Memphis Depay memastikan kemenangan bergaya Oranje itu.

Belanda mungkin perlu memperkemaskan barisan pertahanan mereka yang nampak robek selepas Mathias Indy cedera.

Yang pastinya perlawanan ketiga kumpulan B antara Belanda dan Chile akan menentukan juara kumpulan.

Dan tanpa Robben van Persie yang mendapat kad kuning keduanya pagi tadi, Klaus Jan Huntelaar kini mempunyai peluang membuktikan bisa beliau.M/Kini



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...