Klik aje le

Friday, June 6, 2014

Cabaran getir Piala Dunia



LIZA HASAN
3 Jun 2014

HANYA sembilan hari lagi jutaan peminat kaki bola bakal disajikan dengan perlawanan bola sepak Piala Dunia FIFA 2014.

Brazil selaku tuan rumah juga sudah menjanjikan persiapan venue, penginapan pemain, menghiasi bandar raya termasuk persiapan bagi penduduk di negara itu sendiri.

Maskot rasmi Fuleco the Armadillo juga sudah dipamerkan dua hari selepas Brazil diumumkan sebagai tuan rumah perlawanan.

Selain daripada protes rakyat terhadap bujet perlawanan yang mencecah jutaan dolar, negara Samba itu berdepan cabaran lebih getir iaitu kegiatan pelacuran yang sememangnya tidak dapat lari tatkala menjelang temasya sukan terbesar seperti ini.

Selain persiapan pasukan bertanding, media antarabangsa begitu berminat melaporkan, kegiatan pelacuran seperti yang sudah digembar-gemburkan dari awal.

Dilaporkan, sebahagian besar kumpulan pelacur kini sudah belajar menguasai bahasa Inggeris sebagai persediaan mendapatkan pelanggan.

Mereka juga dikatakan sudah menguasai adab dan budaya pelbagai negara, belajar menjaga kebersihan diri, berpakaian dan adab di meja makan.

Sebilangan media antarabangsa pula mula mencabar keupayaan Brazil dalam usaha menangani masalah pelacuran dengan memaparkan di dada akhbar seperti: “Pelacur Brazil berminat untuk belajar lingua”, “Pelacur Brazil meniti beratkan soal kebersihan” dan “Pelacur Brazil mendapat durian runtuh”.

Di Brazil, pelacuran atau menjalankan kegiatan rumah pelacuran adalah kesalahan jenayah, tetapi tiada undang-undang khas untuk menjatuhkan hukuman kepada individu yang mengamalkannya.

Lima tahun lalu, ahli politik sayap kiri termasuk Timbalan Green Party, Fernando Gabeira, menolak penggubalan undang-undang buruh bagi mengiktiraf pelacuran sebagai “perkhidmatan bersifat seksual”.

Namun, pada masa ini, aktiviti pelacuran tersenarai dalam ‘Klasifikasi Pekerjaan Brazil’, yang membolehkan pelacur menyumbang dana untuk keselamatan sosial dan layak menerima pencen.

Jenis pelacur

Pelacuran di Brazil yang telah di rangka sempena Piala Dunia mempunyai pelbagai kategori antaranya, pelacur mewah (prostituto de luxo) yang tidak boleh disamakan dengan pelacur jalanan atau wanita yang bekerja di kelab tarian.

Pelacur mewah yang paling terkenal di Brazil adalah Raquel Pachecho, yang menggunakan nama gelaran Bruna Surfistinha. Beliau menjadi selebriti internet dengan mendokumenkan pertemuan dengan pelanggan kaya melalui blog peribadinya.

Beliau juga menerbitkan autobiografi terlaris iaitu The Scorpion’s Sweet Poison, Diary of a Call Girl Brazil pada 2005 dan yang pada 2011 autobiografi itu diadaptasi ke dalam filem dan dibintangi oleh pelakon Brazil terkenal.

Dalam inisiatif lain, bekas pelacur Gabriela Leite iaitu pengasas organisasi Davida merupakan sebuah badan bukan kerajaan mempertahankan hak-hak pelacur, mengawal perdagangan dan menentang imej buruk selain penganiayaan terhadap golongan itu.

Kawalan keselamatan digandakan

Brazil meningkatkan kawalan keselamatan bagi memastikan perlawanan itu tidak dicemari keganasan rusuhan.

Setiausaha Majlis Utama Brazil, Andrei Rodrigues berkata, seramai 150,000 orang kakitangan keselamatan awam ditambah sepanjang perlawanan.

“Sejumlah 100,000 kakitangan keselamatan ditugaskan semasa perlawanan dengan 20,000 kakitangan itu adalah golongan profesional,” katanya.

Menurutnya, kerajaan khuatir kejadian rusuhan melibatkan kakitangan awam pada Piala Konfederasi seperti tahun lalu bakal berulang sekali gus mencemarkan imej negara.

“Keutamaan kami ialah mengelakkan keganasan dan memerangi gejala vandalisme. Kami jamin kebebasan akan diberikan kepada perusuh aman kerana rusuhan aman dibenarkan dalam sistem demokrasi di negara ini,” katanya.

Siapa ganti peramal?

Selain bookie, peminat kaki bola sering mencari alternatif untuk meramal perlawanan. Pasti semua kenal dengan si peramal popular seekor sotong dikenali sebagai Paul.

Paul dikatakan dapat meramal 11 keputusan dari 13 perlawanan dengan tepat ketika Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan.

Paul menetas dari telurnya di Pusat Hidupan Laut Weymouth, England sebelum dipindahkan ke Oberhausen, Jerman. Nama Paul diambil sempena tajuk sajak kanak-kanak, Boy Lornsen: Der Tintenfisch Paul Oktopus.

Selepas tiga bulan perlawanan tamat Piala Dunia 2010, Paul mati akibat faktor usia. Kini, siapakah yang bakal menjadi peramal kejohanan?

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...