Klik aje le

Monday, June 9, 2014

Dulu peniaga Melayu hebat, kini melukut...


Oleh Lanh

MENJELANG Ramadan, ramai peniaga kecil-kecilan Melayu menempah petak-petak jualan termasuklah di Bazar Ramadan. Sambutan menggalakkan, syabas kepada peniaga Melayu/Islam yang sentiasa gigih berusaha menambah rezeki.

Ya, rezeki tak datang bergolek, usaha keras perlu dilakukan. Selain kerja kuat, doa pun perlu mantap, doa solat duha yang dianggap pembuka rezeki itu antara lain bermaksusd: "Ya Allah, jika rezekiku masih di langit, turunkanlah, dan jika di dalam bumi, keluarkanlah, jika sukar, permudahkanlah, jika haram, sucikanlah dan jika jauh, dekatkanlah."

Berdasarkan sambutan hangat terhadap petak-petak jualan sempena Ramadan, tentunya sebahagian kita menyakini Melayu/Islam sudah ke depan dalam perniagaan. Tetapi sebelum membuat rumusan itu, tunggu dulu kerana pada ketika peniaga Melayu merangkak, syarikat-syarikat gergasi termasuk firma antarabangsa yang membuka pasar raya besar sudah 'berbatu-batu' di depan dengan pelbagai promosi Aidilfitrinya.

Kehadiran pasar raya hiper ini bukan saja 'melemah' dan 'menjejaskan' peniaga Melayu/Islam tetapi juga kedai-kedai runcit Cina dan Mamak yang terkenal dengan usahawannya yang tidak mengerti putus asa. Mereka turut mengeluh, bayangkanlah orang kampung jauh di pedalaman pun melakukan 'shopping' di Tesco, Aeon, Giant dan Mydin (ini bukan milik asing) dan menjamu selera di restoran KFC dan McDonald's.

Sebagai warga Melaka, saya amat-amati peniaga Melayu di ibu negeri ini 'semakin tenggelam' dilanda arus pemodenan dan globalisasi; dulu 'semasa muda' saya suka mengunjungi gerai-gerai peniaga Melayu di Bazar Mara Padang Nyiru dan di Kampung Jawa tetapi semuanya sudah jadi kenangan. Di atas tapak Bazar Mara itu didirikan kawasan letak kereta manakala Kampung Jawa 'sudah hampir mati'.

Tapak perniagaan baru seperti di Melaka Sentral juga tidak 'membawa berita gembira' kepada peniaga Melayu. Malah, Laporan Ketua Audit Negara yang dikeluarkan awal tahun ini, mendedahkan 41.9 peratus lot kedai Melaka Sentral diusaha warga asing. Jika warga asing sudah menguasai sebahagian besar lot niaga, kemudian ditambah dengan warga bukan Melayu, bermakna hanya segelintir saja Melayu berniaga di situ sedangkan kerajaan negeri telah menetapkan kuota bilangan peniaga di kompleks itu sebanyak 60 peratus.

Berdasarkan perkembangan semasa yang menyaksikan penguasaan asing ini, timbul persoalan, apakah orang Melayu/Islam 'tidak mampu' berniaga? Jika orang Melayu/Islam gagal dalam bidang ini bagaimana Melaka boleh muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa pada zaman kegemilangannya?

Hakikatnya peniaga Melayu Melaka hebat, termasuk ketika zaman penjajahan. Fakta ini saya temui selepas membaca buku 'Kuala Lumpur dari Perspektif Abdullah Hukum' karya Adnan Haji Nawang (terbitan Berita Publishing, 1997) yang mengutip semua penceritaan Abdullah Hukum (antara tokoh peneroka Kuala Lumpur) yang antara lain menyatakan:

"Pada masa saya berumur kira-kira 15 tahun saya dibawa berdagang oleh ayahanda saya meninggalkan negeri. Kami keluar dari tanah Sumatera melalui Pekan Baharu (Siak) dengan sebuah sekoci belayar menuju tanah Semenanjung dan menempat ke Melaka pada tahun 1850.

"Apabila sampai ke Melaka maka kami pun menumpang di rumah Datuk Dagang bernama Haji Said, iaitu bapa saudara bagi Almarhum Tambi Abdullah yang terkenal kaya di Kuala Lumpur dan bergelar Datuk Abdullah.

"Adapun ketuaan orang Melaka masa itu ialah Wan Cilik namanya tinggal di Semabok Batu Tiga (ini kampung saya - penulis). Negeri Melaka masa itu memang telah takluk di bawah perintah Inggeris. Pekannya kecil saja. Ada sedikit-sedikit rumah batu, itu pun rendah-rendah dan separuh rumah-rumah itu betul di tepi pantai Melaka.

"Perniagaan masa itu BANYAK di tangan orang MELAYU; berkedai kain dan menjual makanan. Ada juga Cina berkedai menjual sayur. Beras masa itu datang dari luar negeri. Keadaannya merah tetapi beras keluaran negeri putih dan baik. Ada juga sedikit-sedikit orang Kerinchi mencari rezeki di situ."

Berdasarkan pengkisahan Abdullah Hukum ini, tahulah kita bahawa orang Melayu menguasai perniagaan di bandar seperti Melaka. Itu adalah pada tahun 1850 dan negeri-negeri Melayu sudah berada di tangan Inggeris atau di ambang untuk jatuh ke tangan mereka.

Kini selepas 50 tahun selepas merdeka, peniaga Melayu hanya bersisa di kota Melaka sedangkan pada zaman British, mereka sudah hebat berniaga. Jadi apakah erti merdeka, jika peniaga Melayu makin terpinggir, malah melukut di tepi gantang...fikir, fikirkanlah!

http://lanh14.blogspot.com/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...