Klik aje le

Thursday, June 26, 2014

Dun Kelantan lulus enakmen kawalan agama


KOTA BHARU:Dewan Undangan Negeri (Dun) Kelantan hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kawalan dan Pengembangan Agama Bukan Islam (1981) pindaan 2014 bagi menyekatkan penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam.

Rang undang-undang tersebut mendapat sokongan sebulat suara Adun termasuk pembangkang yang hadir.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta, Datuk Nassuruddin Daud berkata, hampir kesemua negeri di Malaysia mempunyai enakmen tersebut kecuali Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.

Beliau berkata, enakmen itu selaras dengan Islam sebagai agama persekutuan.

Katanya, biar pun Islam sebagai persekutuan, namun agama-agama lain bebas untuk diamalkan di negara ini.

“Kerajaan negeri merakamkan ucapan terima kasih kepada Adun yang menyokong penuh pindaan enakmen tersebut bagi menghalang penyebaran agama lain kepada orang Islam,” katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang tersebut pada persidangan Dun hari ini.

Sebelum itu tiga Adun mengambil bahagian berbahas menyokong rang-rang terbabit iaitu Datuk Mohd Alwi Che Ahmad (BN-Kok Lanas), Dr Md Yusnan Yusof (PAS-Melor) dan Mohd Roseli Ismail (PAS-Kemuning).

Dr Md Yusnan berkata, pindaan berkenaan dibuat selaras dengan Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan yang menyekat penyebaran agama bukan Islam terhadap orang Islam.

Mohd Alwi memberitahu pindaan tersebut dibuat tepat pada masanya dan ia dianggap sebagai keperluan mendesak ketika ada usaha memperlekehkan agama Islam.

“Kita perlu sepakat bagi mempertahankan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu biar pun berlainan ideologi politik. Perbezaan pendapat tidak menghalang kita bersatu mempertahankan Islam.

“Hentikan perbalahan demi untuk Islam. Lagi pun sekarang ada pertubuhan yang berani mengadakan perhimpunan mempersendakan Islam. Kita tidak mahu jadi macam negara-negara lain,” katanya.

Mohd Roseli pula berkata, sekarang bukan sahaja orang bukan Islam yang mempersendakan Islam, malah ada orang Melayu juga melakukan tindakan serupa.

“Sebelum ini kita pernah mendengar ada pemimpin menyebut kalau hendak makan sup tangan boleh datang ke Kelantan,” katanya.

Beliau juga berharap kerajaan negeri mendapatkan surat persetujuan daripada kerajaan pusat bagi menyokong usul mengenai hudud di parlimen bagi membolehkan dilaksanakan di Kelantan.

Semalam Dun Kelantan juga melulus penubuhan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Kelantan bagi memperkasakan lagi sektor tersebut di negeri ini. - HARAKAHDAILY 25/6/2014

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...