Klik aje le

Friday, June 20, 2014

Elak kanak-kanak jadi mangsa jenayah


Dr Nurhidayah Hashim

Ibu bapa laksana tanggungjawab mendidik, semai sikap kejiranan atasi penderaan

Semakin banyak berita sedih membabitkan kanak-kanak berlaku di negara kita. Beberapa minggu lalu, media melaporkan pelbagai kes perlakuan ganas, pendekatan keras, pengabaian dan jenayah yang dilakukan terhadap kanak-kanak.

Berita seorang anak gadis bawah umur dirogol beramai-ramai oleh 38 lelaki di pantai Timur sungguh mengejutkan. Menurut laporan polis, sebahagian besar suspek telah ditangkap, tetapi yang menyedihkan adalah antara pelakunya dikatakan termasuk beberapa budak lelaki bawah umur.

Kita perlu menukar pandangan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ kepada mengambil berat kebajikan tetangga, apatah lagi membabitkan penderaan atau pengabaian kepada kanak-kanak. Semua ahli masyarakat harus membuka mata dan mengambil pendekatan proaktif dalam hal sebegini.
Sebelum kes itu, kita dikejutkan dengan beberapa kes perlakuan ganas dan penderaan terhadap kanak-kanak. Antaranya kes kanak-kanak perempuan 11 tahun yang didera di Selangor dengan dipukul, disumbat cili di dalam mulut dan kemaluannya serta diikat di kerusi oleh ibu tirinya.

Begitu juga kes kanak-kanak tujuh tahun yang dikurung, tidak diberi makan selama berhari-hari dan dipukul sehinggakan kedua-dua belah kaki mangsa bengkak, melecur, bernanah serta dijangkiti kuman.

Kes pengabaian kanak-kanak

Isnin lalu, akhbar melaporkan kes pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa antaranya kes kanak-kanak tujuh tahun ditinggalkan dalam kereta sendirian oleh bapanya yang pergi ke kedai dengan enjin kereta tidak dimatikan.
Kereta itu kemudian dilarikan oleh penjenayah dan kanak-kanak berkenaan bertindak nekad terjun dari kereta yang dilarikan menyebabkan kecederaan kepada anak itu. Pengabaian kepada keselamatan kanak-kanak turut dilaporkan dengan kes kanak-kanak maut terjatuh di pusat beli belah.

Tanpa menafikan takdir Ilahi ke atas apa yang terjadi, kes sebegini seharusnya membuka mata kita mengenai kedudukan kanak-kanak dan kebajikan mereka serta usaha perlu diambil selain menjadi iktibar penting untuk direnungi bersama.

Pertama, walaupun sebelum ini telah berlaku banyak kes anak ditinggalkan di rumah dan dalam kereta sendirian hingga terdedah kepada bahaya, tetapi masih ramai tidak mengambil iktibar serta melakukan perkara sama.

Ini adalah sikap negatif manusia yang menyedihkan, seolah-olah kesilapan oleh orang lain tidak memberi kesan dan menyedarkan kita supaya berusaha menjaga keselamatan anak sendiri.

Anak adalah rezeki dikurniakan Allah SWT dan pemberian itu disertakan dengan amanah untuk menjaga kebajikan mereka sehingga mereka dapat berdikari serta mengurus diri sendiri. Mengabaikan, membiarkan mereka berada dalam bahaya dan mendera anak adalah satu dosa yang berlawanan dengan konotasi pertanggungjawaban diletakkan oleh Allah SWT kepada ibu bapa.

Elak anak terdedah risiko bahaya

Ibu bapa yang faham tanggungjawab menjaga kebajikan anak sudah tentu akan berusaha sedaya upaya mengelak mereka terdedah kepada risiko yang membahayakan. Ibu bapa yang bijak mengambil pengajaran daripada kesilapan orang lain dan tidak melakukan perkara sama.

Menjaga dan mendidik anak adalah tugas hakiki ibu bapa. Justeru, apabila ada jenayah rogol atau curi membabitkan remaja bawah umur, ia boleh menjadi dalil menunjukkan kelemahan pendidikan dan kawalan diberikan oleh ibu bapa kepada anak remaja mereka.

Kedua, kes sebegini turut menzahirkan semangat kejiranan dan prihatin masyarakat terhadap isu kanak-kanak di sekeliling mereka. Adalah sangat sedih apabila ada anak yang menjadi mangsa dera menangis dan meraung sepanjang hari tetapi tidak mendapat perhatian jiran.

Kita perlu menukar pandangan ‘tidak menjaga tepi kain orang’ kepada mengambil berat kebajikan tetangga, apatah lagi membabitkan penderaan atau pengabaian kepada kanak-kanak. Semua ahli masyarakat harus membuka mata dan mengambil pendekatan proaktif dalam hal sebegini.

Sewajarnya jiran yang mengetahui ada isu begini seharusnya segera membuat laporan polis demi menyelamatkan nyawa dan kebajikan kanak-kanak.

Apabila Rasulullah SAW menegur tidak beriman seseorang jika dia tidur kekenyangan sedangkan jirannya kelaparan, sebenarnya menjadi hujah kita wajib menjaga kebajikan jiran bermasalah, terutama kanak-kanak yang teraniaya.

Jika ingin anak kita hidup sejahtera, itulah juga yang seharusnya menjadi pegangan kita terhadap kebajikan anak-anak jiran.

Ketiga, kes sebegini juga tanpa sedar menunjukkan segelintir ahli masyarakat tidak bertindak walaupun mengetahui adanya kes kanak-kanak didera berkemungkinan kerana takut untuk bertindak demi keselamatan diri serta keluarga mereka.

Jika melihat pelaksanaan negara lain, ada yang memperkenalkan undang-undang memperuntukkan orang yang mengetahui kanak-kanak didera atau kanak-kanak diabaikan wajib membuat laporan. Jika mereka tidak membuat laporan, mereka boleh disabitkan bersubahat membiarkan kanak-kanak dianiaya.

Sudah sampai masanya negara kita turut memperkenalkan undang-undang sebegini demi menambah baik kebajikan kanak-kanak dan keprihatinan masyarakat. Pada masa sama, keselamatan pelapor juga menjadi perkara utama dalam sistem perundangan kita.

Perkemas undang-undang berkait kebajikan kanak-kanak

Keempat, undang-undang berkaitan kes membabitkan kanak-kanak mungkin perlu dikaji semua supaya hukuman setimpal dapat dikenakan kepada pelakunya. Ramai pengkaji undang-undang mencadangkan undang-undang berkaitan kebajikan kanak-kanak dapat diperkemaskan.

Begitu juga kempen menjaga kebajikan anak perlu diperhebatkan oleh pihak berwajib demi kesejahteraan seluruh masyarakat. Adalah menjadi harapan kita keprihatinan bersama dapat menyelamatkan nyawa kanak-kanak tidak berdosa.

Penulis ialah pensyarah Akademi Pendidikan Islam Kontemporari (ACIS), UiTM Shah Alam

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...