Klik aje le

Saturday, June 7, 2014

Honda CRF250R edisi 2015


MODEL dwiguna Honda masing mengekalkan warna merah putih.

AWAL bulan ini, Honda memperkenalkan model off road 250cc CRF250R edisi 2015 yang didatangkan dengan pelbagai pembaharuan signifikan hasil pembabitan dalam dunia sukan berlumba Supercross di Amerika Syarikat.

Bagi model edisi 2015, pasukan jurutera divisi talaan Honda Racing Corporation (HRC) meneruskan agenda pembangunan casis seperti dilakukan pada tahun lalu dengan menaik taraf unit enjin jentera itu agar lebih bertenaga untuk berdepan sertu tradisi khususnya Kawasaki, KTM, Suzuki dan Yamaha.

Transformasi pertama dilakukan terhadap respons enjin dengan mereka semula kepala silinder enjin. Tindakan itu menyaksikan peningkatan kadar nisbah mampatan omboh kepada 13.5:1. Jurutera Honda juga memberikan talaan sistem pancitan bahan api baharu pada Honda CRF250R.

Konfigurasi baharu itu membolehkan enjin itu menjayakan hamburan kuasa lebih lancar pada julat pusingan enjin seminit (rpm) rendah hingga paras sederhana. Sebagai bonus kepada pelanggan, model itu didatangkan dengan tiga mod pemetaan enjin.

Bagaimanapun, untuk menukar mod enjin, jentera perlu diberhentikan terlebih dahulu sebelum menekan Butang Pilihan Mod Enjin (EMSB) yang dipasang pada bahagian kanan hendal.

Mod 1 menggunakan kombinasi standard nyalaan dan pembakaran dalam kebuk silinder untuk menjana kuasa dan penghantaran tork seimbang. Mod 2 direka untuk kegunaan pada permukaan licin dan berlumpur dan kuasa enjin bergantung pada kaedah kawalan pendikit. Mod 3 pula meledakkan kuasa agresif bagi permukaan lembut seperti atas pasir atau tanah gambut.

Honda CRF250R dipasang sistem fork udara Showa 48mm boleh diselaras mengikut cita rasa penunggang bagi menikmati prestasi terbaik. Batang fork kanan adalah untuk menyelaras kadar redaman omboh dan kadar prabeban manakala tugas memampatkan udara dalam batang fork terletak pada fork bahagian kiri.


KADAR prabeban dan redaman omboh fork hadapan boleh diubah mengikut keselesaan para pemilik.

Agihan itu membolehkan jentera mengecapi imbangan dikehendaki penunggang sekali gus melancarkan tunggangan di laluan tidak rata. Sistem fork baharu itu juga lebih ringan 1.3 kilogram berbanding model tahun sebelumnya.

Jurutera HRC memadankan gegelung kompak Showa baharu pada bahagian penyerap hentak tunggal belakang dan anda diberi opsyen untuk menyelaraskan sehingga 17 peringkat untuk mendapat imbangan bersesuaian. Sistem monoshock itu bersambungan dengan sistem Pro-Link Honda.

Bagi menyempurnakan prestasi keseluruhan sistem suspensi belakang, lengan ayun yang diperbuat daripada aluminium menjadi pelengkap model CRF250R. Komponen itu menggalas tugas penting dalam memastikan tayar belakang memperoleh cengkaman terbaik ketika mengambil selekoh.

Selain itu, jurutera HRC menzahirkan kesempurnaan ergonomik tunggangan dengan menggunakan beberapa komponen bersaiz kompak seperti penutup radiator, penutup sisi, pelana ringan dan tangki petrol. Tindakan itu membolehkan penunggang memiliki ruangan lebih luas untuk pergerakan tubuh yang lebih fleksibel.

Jurutera Honda turut melakukan kerja naik taraf pada sistem brek apabila mengaplikasi penggunaan cakera bercorak baharu yang membantu nyah haba selain menawarkan kadar cengkaman lebih efisien.

Naik taraf terakhir melibatkan pemasangan rim aluminium ringan berukuran 21 inci (hadapan) dan 19 inci (belakang) bersama padanan tayar jenis Dunlop MX52F/MX52 untuk membantu meningkatkan kekuatan cengkaman sewaktu tunggangan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...