Klik aje le

Sunday, June 8, 2014

JPN tunggu Peguam Negara dan Mahkamah Syariah berkenaan status agama pengantin, kata Zahid

Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya boleh memproses perm‎ohonan pertukaran agama pengantin Islam selepas mendapat lampu hijau daripada Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Syariah kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (gambar).

"Saya sudah mengkaji laporan JPN ke atas Zarinah Abdul Majid, kami faham sensitiviti agama dan kita akan mengikut apa sahaja keputusan Pejabat Peguam Negara dan Mahkamah Syariah," katanya di Kuala lumpur.

Zarinah berkata bapanya mendaftarkan agamanya sebagai Islam namun dia membesar dengan agama Hindu.

Wanita berusia 32 tahun itu juga mendakwa kerap kali berulang-alik ke JPN dan membelanjakan hampir beribu ringgit sebagai usaha menukar status agamanya namun gagal.

‎Kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) digesa membantu Zarinah menyelesaikan status agamanya.

"Zarinah boleh membuat perubahan sekiranya mampu menyelesaikan masalah namanya," kata Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Ahad lalu, Jais menyerbu perkahwinan Zarinah di sebuah kuil Hindu terletak di Petaling Jaya selepas menerima laporan Zarinah masih beragama Islam.

‎Berdasarkan semakan pada MyKad Zarinah, ia mengesahkan wanita itu beragama Islam dan penguatkuasa Jais membawanya untuk disoal siasat.

‎Serbuan Jais itu dikutuk pelbagai NGO seperti Malaysia Hindu Sangam, Majlis Peguam, ‎Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf) bahkan termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ini merupakan kali kedua dalam tahun ini Jais berdepan kontroversi. Kali pertama adalah kejadian serbuan dan rampasan di pejabat Pertubuhan Bible Malaysia pada Januari lalu. – 7 Jun, 2014.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...