Klik aje le

Tuesday, June 17, 2014

KKM cadang struktur semula sistem sijil cuti sakit


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) bercadang menstruktur semula sistem sijil cuti sakit (MC) untuk mengesan sijil cuti sakit palsu atau memalsukan sijil cuti sakit seperti yang didedahkan media baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata satu daripada cadangan yang masih dibincangkan termasuk melaksanakan nombor siri dengan identifikasi doktor sebagai petunjuk dan menggunakan cetakan keselamatan untuk mengesan ketulenannya.

“Persekutuan Majikan Malaysia melaporkan bahawa majikan di negara ini dianggarkan kerugian sehingga RM8 bilion setahun kerana perbuatan pekerja mengambil cuti sakit palsu yang dikeluarkan oleh klinik.

“Ini satu kerugian besar kepada syarikat dan kerajaan kerana kita bercakap berhubung usaha meningkatkan produktiviti untuk menjadi negara berpendapatan tinggi menjelangtahun 2020 tetapi jika amalan ini berterusan, ia boleh menyebabkan produktiviti menurun dan menjejaskan matlamat negara," kata beliau selepas merasmikan seminar mengenai "Medical Absenteeism" di sini, hari ini.

Beliau berkata kementerian juga sedang mengkaji untuk membangunkan pangkalan data penyimpanan pusat bagi pemegang kepentingan memantau ketidakhadiran pekerja kerana cuti sakit di peringkat seluruh negara.

Beliau berkata cara ini boleh memantau berapa banyak cuti sakit yang diambil oleh pekerja dan doktor yang mengeluarkan cuti sakit sementara majikan boleh memeriksa pangkalan data untuk membuat semakan tentang pekerja mereka.

"Kami (kementerian) boleh menyemak dan mengenal pasti doktor yang menjual sijil cuti sakit," kata beliau.

Seminar sehari anjuran HELP University dan Eximius Medical Administration Solutions (e-MAS) bertujuan menghasilkan penyelesaianan terhadap masalah ketidakhadiran pekerja kerana cuti sakit yang menjadi masalah utama sehingga menjejaskan produkiviti pekerja.

“Kita perlu berusaha gigih untuk mengurangkan gejala mengeluarkan cuti sakit kepada pekerja yang tidak layak dan melalui interaksi dan perbincangan dalam seminar seperti ini, kita boleh membantu untuk menambah baik produkiviti” kata beliau. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...