Klik aje le

Wednesday, June 11, 2014

Selepas tiga bulan MH370 tidak boleh dibiarkan 'hilang'


Oleh Hassan Mohd. Noor

SEMALAM, genap tiga bulan kehilangan misteri pesawat MH370. Dunia masih tercari-cari ke mana pesawat yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal itu. Pesawat itu hilang daripada imbasan radar semasa terbang di ruang udara Laut China Selatan, kira-kira sejam selepas berlepas dari Kuala Lumpur pada 8 Mac lalu. Gerakan mencari melibatkan 26 buah negara, bermula di Laut China Selatan, kemudian diperluaskan ke Selat Melaka dan Laut Andaman, sebelum ke perairan di barat Australia di selatan Lautan Hindi, separuh jalan ke Antartika. Mungkin dalam sehari dua kehilangan itu, banyak pihak menjangka pesawat sebesar Boeing 777 itu akan mudah ditemui. Malangnya ia tidak menjadi kenyataan. Paling terasa kehilangan ini sudah tentulah ‘anggota keluarga MH370’ yang terus menghitung hari - masuk hari ke 92 hari ini - menanti berita apa sebenarnya berlaku.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya. Kita yang berada di luar keluarga besar MH370 itu hanya mampu berdoa dan menyatakan simpati tetapi mereka yang bergelar ibu, bapa, anak, suami, isteri dan kekasih yang terpaksa menanggung `penderitaan' itu. Mereka menderita kerana ketiadaan bukti kukuh dan sahih mengenai nasib yang menimpa pesawat itu. Jika terhempas di mana bangkainya?

Intan Maizurah Othman, isteri anak kapal MH370, menyatakan beliau tetap mendoakan keselamatan suaminya walau di mana saja suaminya berada. Seorang lagi keluarga mangsa, Jacquita Gonzales pula berkata, sepanjang tiga bulan, mereka diselubungi pelbagai emosi. "Apa yang kita boleh lakukan apabila kehilangan orang tersayang tanpa dijangka? Kehidupan rutin kami direntap dan terpaksa mengharunginya. Hati kami hancur tetapi tetap terus menaruh harapan," katanya. Walaupun Malaysia dibantu banyak negara yang hebat kepakaran di dunia, malangnya tidak ada kepastian di mana kedudukan pesawat itu? Pernah ada yang mendakwa, pesawat itu disembunyikan tetapi persoalan itu sudah pun dijawab biarpun masih ada keraguan. Jika sudah tenggelam di dasar laut, di lautan mana? Sejak pencariannya menemui jalan buntu, pelbagai spekulasi timbul. Apakah ada ‘tangan ghaib’ yang ‘menghilangkan’ pesawat itu sehingga tidak dapat dikesan? Baru-baru ini seorang pelayar memberitahu ternampak sebuah pesawat sedang terbakar di Lautan Hindi. Tetapi apakah kesan yang ditinggalkan? Apa yang pasti, teknologi yang ada gagal mengesan di mana pesawat itu. Teknologi juga gagal memberi isyarat apa sebenarnya yang berlaku kepada pesawat selepas dilaporkan hilang daripada radar. Dalam insiden pesawat Air France 447, pesawat itu terhempas pada kelajuan perlahan, kira-kira 100 kilometer sejam., dan tidak memberi tindak balas yang. Sebelum AF447 terhempas ke dalam Lautan Atantik, pelbagai isyarat dipancarkan oleh Sistem Pelaporan dan Komunikasi Pesawat (ACARS) kerana ia telah mengesan satu demi satu kerosakan yang memudahkan lokasi pesawat di dasar laut dikesan. Dalam keadaan itu pun, pencarian AF447 mengambil masa selama dua tahun. Bayangkan MH370 yang hilang tanpa sebarang kesan.

Mengapa amat sukar untuk menemui pesawat ini?

Inilah persoalan yang perlu dirungkai bersama untuk dijawab terutama oleh pihak industri penerbangan. Pertengahan bulan lalu, Perdana Menteri, Najib Tun Razak mengakui ada juga tindakan kerajaan yang kurang tepat dalam menangani kehilangan pesawat MH370. Katanya, keseluruhan industri penerbangan global perlu mempelajari dan bertindak berdasarkan pengajaran penting daripada tragedi itu. Dalam satu ruangan pendapat yang disiarkan The Wall Street Journal, perdana menteri berkata : "Tiada siapa nampak perkara ini, tiada siapa tahu kenapa tragedi itu berlaku dan tiada siapa tahu dengan tepat di mana ia berada''. Beliau menarik perhatian walaupun disertai usaha pemikiran mereka yang begitu cerdik di dunia dengan tentera terbaik, kawasan pencarian begitu luas seperti yang diingatkannya bahawa mencari pesawat dalam insiden yang "pelik dan tidak pernah berlaku sebelum ini" akan menjadi tidak cepat mahupun mudah. Malaysia bagaimanapun berjanji akan terus mencari pesawat itu.

Industri penerbangan telah menempuh cabaran dalam pencarian pesawat AF447 dan belajar daripada pengalaman itu, sudah tentu sesuatu penambahbaikan perlu dilakukan termasuk keupayaan kotak hitam, sistem komunikasi - iaitu transponder dan Sistem Pengendalian Komunikasi dan Laporan Pesawat (ACARS), Banyak lagi yang perlu dilakukan. Jadikan pengalaman MH370 ini sebagai usaha untuk memastikan kesilapan tidak berulang dan menjamin pengangkutan udara adalah yang paling selamat. Dalam hubungan ini, kita mengalu-ngalukan ikrar Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berikrar bahawa kehilangan pesawat komersial yang besar seperti MH370 tidak boleh berulang lagi. IATA mengakui kehilangan itu adalah satu peristiwa yang mengejutkan dan belum pernah berlaku.

Mungkin bagi mereka di luar keluarga MH370 akan mula melupakan misteri ini. Bagaimanapun bagi ahli keluarga mangsa, mereka tidak berputus asa. Sekumpulan anggota keluarga penumpang dari beberapa buah negara bakal melancarkan kempen kutipan dana untuk mengumpul sebanyak AS$5 juta (RM16 juta) bagi memulakan satu lagi siasatan baharu. Kempen yang digelar sebagai Reward MH370: The Search for the Truth itu akan secara rasmi dilancarkan hari ini menerusi laman web Indiegogo.

Dalam pencarian ini, perisikan manusia menjadi keutamaan berbanding penggunaan bot. Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) pula membuka tender bagi memperoleh perkhidmatan sebuah syarikat pakar untuk mencari MH370. ATSB menyebut pencarian dalam air itu akan dipergiat mulai Ogos dan dijangka mengambil masa sehingga 12 bulan. Pencarian dijangka melibatkan kawasan seluas sehingga 60,000 kilometer persegi berdasarkan persetujuan bersama di mana pesawat itu berkomunikasi buat kali terakhir dengan satelit Inmarsat. Begitulah usaha berterusan yang dilakukan.

MH370 tidak boleh dibiarkan ‘hilang’ begitu sahaja.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...