Klik aje le

Wednesday, June 18, 2014

Tak beri muka


SEORANG penunggang motosikal mengubah laluan selepas terserempak sekatan polis.

Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Pihak Polis Trafik Kuala Lumpur tidak ‘beri muka’ apabila bertindak mengadakan operasi besar-besaran bagi memburu pemandu degil yang mempunyai saman tertunggak atau waran tangkap sebelum ini.

Ini terbukti apabila seramai 71 pesalah trafik ditahan pada hari pertama operasi `Ops Warta’ dimulakan di sekitar pusat bandar raya semalam.

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, semua pesalah trafik terbabit ditahan dalam empat operasi berasingan di Jalan Besraya, Jalan Manjalara, Jalan Shamelin Perkasa dan Jalan Sentul bermula jam 10 pagi.

Katanya, pihak polis trafik akan meneruskan operasi berkenaan dari semasa ke semasa di lokasi dianggap strategik untuk menahan pesalah trafik ini.

“Jumlah yang ditahan ini hanyalah sebahagian kecil daripada angka keseluruhan waran tangkap yang dikeluarkan iaitu sebanyak 229,820 pesalah trafik.

“Semua waran tangkap yang dikeluarkan ini adalah untuk pesalah trafik dari tahun 2010 hingga 2013 yang masih belum menjelaskan kompaun masing-masing,” katanya.
Menurutnya, pesalah trafik dinasihatkan menyelesaikan saman tertunggak dalam kadar segera bagi mengelakkan mereka diambil tindakan.

Nadzri berkata, semua pesalah trafik itu `diheret’ ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar selepas mereka gagal menjelaskan saman dikeluarkan terhadap mereka sebelum ini. “Mereka kemudiannya diberikan jaminan polis sebelum diarahkan hadir ke mahkamah pada 23 Jun untuk pendakwaan.

“Fokus utama polis pada Ops Warta ini adalah untuk mengesan pesalah trafik yang ingkar dan enggan menyelesaikan saman trafik mereka sejak beberapa tahun lalu,” ujarnya.

Sementara itu, tinjauan Harian Metro ke lokasi pemeriksaan mendapati terdapat beberapa penunggang motosikal sanggup berdepan maut dengan menentang arus jalan selepas menyedari terdapat operasi dijalankan oleh polis trafik Kuala Lumpur.

Beberapa penunggang motosikal dilihat sanggup menunggang motosikal dengan melawan arus selain memecut dengan laju.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...