Klik aje le

Tuesday, July 15, 2014

Lakukan ibadat sebelum terlambat

Gambar hiasan dari Google

Rasulullah SAW juga pernah bersabda: “Wahai segenap manusia, telah datang kepada kalian bulan yang agung penuh berkah bulan yang di dalamnya terdapat satu malam yang nilainya lebih baik dari seribu bulan. Allah menjadikan puasa di siang harinya sebagai kewajiban, dan qiyam di malam harinya sebagai sunnah. Barangsiapa menunaikan ibadah yang difardhukan, maka pekerjaan itu setara dengan orang mengerjakan 70 kewajiban. Ramadhan merupakan bulan kesabaran dan balasan kesabaran adalah syurga. Ramadhan merupakan bulan santunan, bulan yang di mana Allah melapangkan rezeki setiap hamba-Nya. Barangsiapa yang memberikan hidangan berbuka puasa bagi orang yang berpuasa, maka akan diampuni dosanya, dan dibebaskan dari belenggu neraka, serta mendapatkan pahala setimpal dengan orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa tersebut.” (HR Khuzaimah)

Itu ialah hadis tentang Ramadan yang kita sedang berada dalamnya bagi merebut peluang yang masih berbaki berbelas hari sahaja lagi. Kali ini saya tertarik dengan tulisan yang disiarkan UTUSAN Online tentang Ramadan. Antara yang disentuh oleh penulis ialah Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah SWT akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka."

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Bersegera beribadat

Oleh WAN MARZUKI WAN RAMLI
PENULIS ialah Guru Pendidikan Islam di SK Sultan Ibrahim (4), Pasir Mas, kelantan.

SALAH satu matlamat kefarduan puasa Ramadan adalah untuk menjana suatu natijah keperibadian unggul dan seterusnya mencapai kemuncak darjat ketakwaan yang sebenar kepada Allah SWT.

Dalam satu hadis yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan, semata-mata kerana imannya kepada Allah dan mengharapkan pahala daripada-Nya, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang lalu."

Ramadan adalah bulan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat bagi setiap umat Islam yang ingin mencapai hasrat tersebut, ini kerana dengan peningkatan kuantiti dan kualiti ibadat sahajalah, maka akan lebih mudah proses taqarrub seseorang untuk berserah diri kepada Allah SWT dalam banyak hal yang lain. Dengan itu juga akan lebih mudah pula seseorang mukmin itu untuk membezakan sesuatu yang hak dan batil.

Sabda Rasulullah SAW yang telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bermaksud: “Umatku diberi Allah setiap Ramadan lima perkara yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya iaitu: bau mulut orang yang berpuasa lebih harus di sisi Allah daripada bau kasturi. Malaikat memohon ampun untuk orang yang berpuasa hingga waktu berbuka. Syaitan dibelenggu sehingga mereka tidak bebas seperti biasa."

Bertitik tolak daripada itu, setiap umat Islam digalakkan menyimpan niat untuk menjalani ibadat puasa pada setiap hari di bulan Ramadan sebagai manifestasi untuk melaksanakannya mengikut apa yang dikehendaki oleh syarak.

Puasa adalah suatu ibadat tazkiyah al-nafs iaitu proses penyucian jiwa dan nurani daripada segala penyakit rohani yang boleh mengkerdilkan kesempurnaan ibadat seseorang. Melalui ibadat puasalah diharapkan akan lahir sifat-sifat terpuji seperti amanah dan jujur dengan diri sendiri, bertanggungjawab, bertakwa dan sabar.

Apa jua kesederhanaan dan sedikit kekuatan yang dituntut sepanjang menjalani ibadat puasa ini mencerminkan ibadat puasa adalah bersifat sosial yang dikatakan boleh menjana deria keprihatinan dan keinsafan terhadap nasib umat Islam yang kurang bernasib baik.

Dalam sebuah hadis yang lain Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: Apabila kamu berpuasa, maka hendaklah pendengaranmu, penglihatanmu dan lidahmu turut berpuasa daripada segala yang haram. Jauhilah daripada suka menyakiti jiranmu, hendaklah kamu bertenang dan beramal dan jangan biarkan hari tidak berpuasa dan hari berpuasa adalah sama. (riwayat Bukhari).

Persiapan diri

Bagi memastikan segala pesanan Rasulullah SAW ini dapat kita laksanakan dengan syumul, perkara utama yang harus dahulukan adalah menyiapkan diri untuk memulakan penghidupan yang lebih bermutu dan bernilai sepanjang berada dalam bulan penuh kemuliaan dan keberkatan ini. Antaranya ialah:

Menjaga ibadat puasa daripada terbatal dan kurang pahalanya kerana kelalaian dalam menjaga anggota badan.

Memperbanyakkan membaca al-Quran dan merenungi pengajaran di sebalik pengertian ayat yang dibaca.

Mengurangkan tidur pada siang hari dalam bulan Ramadan.

Beriktikaf dalam masjid terutamanya pada 10 malam terakhir Ramadan

Memperbanyakkan bersedekah terutama kepada fakir miskin kerana bersedekah akan menyucikan jiwa manusia daripada sifat takbur dan kembali menyemai sensitiviti sesama umat Islam.

Jangan terlalu boros dengan melakukan pembaziran dalam penyediaan makanan.

Melihat kepada betapa besarnya fadilat atau kelebihan yang bakal diperoleh oleh semua umat Muslimin pada sepanjang bulan yang barakah ini, Rasulullah SAW telah memberi penekanan dengan menjelaskan kemuliaan Ramadan melalui satu khutbah baginda iaitu: “Wahai manusia, sesungguhnya kamu akan didatangi satu bulan yang besar lagi penuh keberkatan iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada 1,000 bulan. Bulan di mana Allah telah jadikan puasa adalah kefarduan dan qiyam pada malamnya adalah satu tambahan.

Sesiapa yang mendekatkan diri kepada Allah dan beramal soleh pada bulan itu, maka samalah dia dengan orang yang menunaikan 70 amalan fardu di bulan yang lain. Bulan Ramadan adalah bulan untuk memberi pertolongan dan Allah SWT akan menambahkan rezeki orang mukmin di dalamnya. Sesiapa memberi makanan berbuka bagi orang yang berpuasa pada bulan itu, maka itu menjadi pengampunan dosanya dan kebebasan daripada api neraka."

Secara jelasnya menikmati kehadiran Ramadan dan fadilat yang terselindung di sebalik tabir kemunculannya menjadi tumpuan setiap umat Islam yang sentiasa mendambakan keberkatan dan pahala yang berlipat ganda daripada Allah SWT.

Usah jadikan Ramadan sebagai bulan untuk berlumba-lumba menyajikan makanan yang pelbagai sehingga melakukan pembaziran atau memberikan alasan berpuasa dalam bulan Ramadan akan menjadikan umat Islam yang rendah produktiviti dan tiada natijah penghidupan kerana keletihan berpuasa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila datangnya malam pertama Ramadan, diikatlah segala jin dan syaitan yang jahat serta ditutup pula pintu neraka dan tiada dibuka walaupun satu pintu neraka. Akan dibuka pintu syurga. Pada setiap malam akan ada malaikat yang menyeru, “Wahai manusia yang inginkan kebaikan, bersegeralah kamu. Wahai manusia yang inginkan kejahatan, berhentilah kamu dan bagi Allah orang yang dibebaskan daripada api neraka."

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...