Klik aje le

Sunday, July 27, 2014

Perjalanan lebih lama kerana jalanraya sesak teruk


SESAK. Sebahagian daripada kenderaan yang berada di Plaza Tol Gombak, Kuala Lumpur semalam.
Gambar dari Kosmo! Online

Kesasakan yang luar biasa berlaku dalam keghairahan warga kota pulang ke kampung masing-masing sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri dalam sehari dua lagi sebagaimana yang dilaporkan oleh Kosmo! Online di mana mereka terpaksa menempuh perjalanan sehingga 15 jam ke Kota Bharu, Kelantan iaitu dua kali ganda lebih lama berbanding pada hari biasa ekoran kesesakan teruk semalam.

Manakala bagi perjalanan ke Pulau Pinang dan Kedah melalui Lebuh Raya Utara-Selatan pula, rata-rata pemandu kenderaan mengambil masa 12 jam berbanding lima jam pada hari biasa.

Mereka yang memulakan perjalanan ke Kota Bharu seawal pukul enam pagi selepas waktu bersahur terpaksa menempuh kesesakan bermula dari Plaza Tol Gombak di sini.

Seorang pengguna Lebuh Raya Pantai Timur yang melalui Plaza Tol Gombak untuk ke Kelantan, Farah Yasmin Mohd. Yusof, 25, berkata, dia yang bertolak dari Keramat di sini terpaksa meredah kesesakan lalu lintas kira-kira lapan jam untuk melepasi Plaza Tol Gombak.

“Perjalanan sejauh kira-kira 14 kilometer dari Keramat ke Plaza Tol Gombak kebiasaannya mengambil masa 30 minit tetapi hari ini (semalam) saya berada dalam kereta hampir lapan jam.

“Kebiasaannya lapan jam itu adalah tempoh perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu tetapi hari ini (semalam) tempoh itu hanya dari Kuala Lumpur untuk ke Plaza Tol Gombak,” katanya yang pertama kali melalui pengalaman kesesakan teruk seumpama itu.

Farah Yasmin berkata, dia memilih untuk balik ke kampung di Kota Bharu semalam kerana beranggapan ramai kakitangan kerajaan sudah mula bercuti dan balik kampung pada Khamis lalu.

“Anggapan saya meleset apabila warga kota rata-rata bertolak hari ini (semalam) iaitu selepas bersahur,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Bagi seorang perantau di Kuala Lumpur, Yusman Awang, 46, pula, dia terpaksa menempuh perjalanan selama 15 jam dari Ampang, Selangor menuju ke Melor, Kelantan ekoran kesesakan teruk ke Pantai Timur.

Dia bertolak dari rumahnya di Ampang pukul 4.00 pagi dan mula terperangkap dalam kesesakan di Taman Melati sehingga ke Plaza Tol Gombak yang memakan masa lebih tiga jam.

“Selepas itu keadaan jalan di Bukit Tujuh, Pahang kembali sesak sehingga ke Gua Musang, Kelantan.

“Saya hanya tiba di Melor kira-kira 10 jam kemudian sedangkan kebiasaannya perjalanan saya dari Kuala Lumpur ke Melor mengambil lapan jam sahaja,” ujarnya.

Seorang pekerja swasta, Noraini Amir, 24, yang pulang ke Alor Setar, Kedah dari Bukit Subang, Selangor melalui Lebuh Raya Utara-Selatan turut terpaksa menempuh perjalanan sesak selama 12 jam.

“Biasanya kalau balik Alor Setar, perjalanan hanya makan sama tujuh jam tetapi hari ini (semalam) kira-kira 12 jam kerana kenderaan perlahan sepanjang lebuh raya,” jelasnya.

Sementara itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, pergerakan kenderaan di Lebuh Raya Utara-Selatan dan Lebuh Raya Karak masih lagi perlahan sehingga petang semalam.

Selain itu, LLM dalam laman Twitternya pada pukul 7.30 malam tadi memaklumkan Jalan Jerangau-Jabor terputus selepas pembetung di sebuah kampung Orang Asli di Cheneh, Kemaman runtuh.

Susulan itu, kenderaan yang melalui kawasan berkenaan diarah berpatah balik dan menggunakan Jalan Kemaman-Kuala, Terengganu.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...