Klik aje le

Wednesday, September 10, 2014

Saham Apple dan pembekal komponennya turun apabila pelabur tidak teruja dengan peranti terbaharu iPhone 6 dan Apple Watch


Model iPhone 6 Plus yang dilancarkan di Flint Center, Cuppertino, California, malam tadi. - Reuters

HONG KONG: Saham Asia jatuh hari ini berikutan penurunan semalaman di Wall Street yang menyaksikan saham Apple dan pembekal komponennya turun apabila pelabur tidak teruja dengan peranti terbaharu iPhone 6 dan Apple Watch.

Menjelang penutupan tengah hari, bursa Tokyo turun 0.35 peratus, Sydney susut 0.88 peratus, Shanghai turun 0.64 peratus manakala Hong Kong susut 1.44 peratus. Bursa Seoul ditutup kerana cuti umum.

Pada penutupan malam tadi, Indeks Dow Jones jatuh 0.57 peratus dan S&P500 jatuh 0.65 peratus manakala Nasdaq jatuh 0.87 peratus.

Saham firma yang membekalkan komponen kepada Apple jatuh selepas pelancaran iPhone 6 dan iPhone 6+ dengan skrin lebih besar, jam pintar serta sistem pembayaran baharu.


Walaupun Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook, berkata telefon pintar itu adalah 'kemajuan terbesar dalam sejarah iPhone', pelabur bagaimanapun tidak begitu tertarik. Saham Apple ditutup turun 0.4 peratus.

Harga saham Japan Display jatuh 1.8 peratus, Foster Electric susut 0.6 peratus manakala di Taipei, Taiwan Semiconductor Manufacturing Corp jatuh 1.6 peratus manakala pengeluar skrin, Largan Precision jatuh 1.2 peratus.

Ketua Pegawai Pelaburan BMO Private Bank Amerika Syarikat (AS), Jack Ablin, berkata pelabur nampaknya agak kecewa.

"Pelabur mengharapkan produk 'game changer' daripada syarikat ini (Apple), justeru mereka agak kecewa bila keadaan itu tidak dicapai," katanya. - AFP

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...