Klik aje le

Saturday, October 11, 2014

Guru didakwa campak murid ke longkang

KLUANG - Seorang murid tahun lima di sini, mendakwa dia dibelasah dan dicampak ke dalam longkang oleh seorang guru sekolahnya.Murid berkenaan, Mohamad Sharhan Badrulhisham, 11, turut mendakwa diberi amaran akan dikeluarkan dari sekolah berkenaan pada sesi persekolahan akan datang.Bapanya, Badrulhisham Khamis, 44, berkata, dia terkejut melihat anak bongsunya itu menangis dengan beberapa bahagian tubuhnya luka ketika mengambilnya di sekolah, kira-kira jam 10 pagi, kelmarin.Dia bersama isterinya, datang ke sekolah itu selepas dihubungi anak mereka yang mengadu sakit perut.“Anak saya beritahu dia dibelasah kemudian dicampak ke dalam longkang selain diberi amaran akan dikeluarkan dari sekolah pada sesi persekolahan akan datang oleh seorang guru hanya kerana dia bermain batu di hadapan kelas guru itu,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Menurutnya, berdasarkan cerita rakan-rakan anaknya, ketika mereka sedang bermain batu di hadapan kelas, salah seorang daripada mereka telah membaling batu yang kemudian terjatuh betul-betul di hadapan guru berkenaan.Badrulhisham berkata, sebaik guru tersebut melihat mereka, tiga rakan anaknya itu bertindak melarikan diri.“Hanya anak saya tinggal di situ kerana dia tidak melakukan perkara itu. Tetapi, guru tersebut naik berang tanpa usul periksa” katanya.Jelasnya, dia sudah mendapatkan penjelasan daripada guru tersebut namun tidak berpuas hati dan telah membuat laporan polis berhubung insiden anaknya dibelasah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, petang kelmarin.Tambahnya, dia tidak akan menghantar anaknya itu ke sekolah berkenaan ekoran Mohamad Sharhan masih trauma dengan kejadian yang berlaku ke atasnya selain tiada permohonan maaf daripada pihak sekolah atas perbuatan guru tersebut yang menghukum anaknya tanpa usul periksa.“Saya mengakui anak saya seorang yang nakal. Tetapi, siasatlah dulu sebelum menghukum,” katanya.Badrulhisham berharap guru terlibat dikenakan tindakan sewajarnya agar kejadian serupa tidak berulang pada masa akan datang. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Mohd Roze Shaari mengesahkan menerima laporan berhubung insiden berkenaan dan pihaknya akan melakukan siasatan menyeluruh.Manakala, Jurucakap Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kluang berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung kejadian berkenaan dan akan menyiasat kes tersebut.Jelasnya, pada masa ini mereka masih menunggu laporan penuh kejadian daripada pihak sekolah.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...