Klik aje le

Sunday, November 2, 2014

Pas tubuh Sekolah Rendah Islam

Sekolah Rendah Islam Al Rahmat yang kini sudah siap fasa pertama dan buat permulaan akan menerima 250 pelajar, tahun depan.


AYER MOLEK - Pas terus mengorak langkah dalam usaha melebarkan lagi sayap pendidikan Islam dengan penubuhan sebuah sekolah rendah agama rakyat iaitu Sekolah Rendah Islam Al-Rahmat yang terletak di Kampung Solok Gaung, di sini.

Penubuhan sekolah itu sekali gus menjadikannya sekolah keempat diwujudkan atas tajaan pihak swasta dengan ditanggung sepenuhnya individu tertentu.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang merasmikan sekolah berkenaan kelmarin, turut melahirkan penghargaan terhadap warga pentadbir dan semua menyokong penubuhan sekolah tersebut.

Menurutnya, mereka terlibat berjaya mengharungi segala cabaran dalam menjayakan matlamat bagi memenuhi keperluan sistem pendidikan Islam kepada masyarakat setempat.

“Saya melihat sistem pendidikan Islam kini semakin mendapat permintaan tinggi di kalangan ibu-bapa, justeru kesediaan ke arah itu perlu dilakukan dan antara usaha adalah dengan mewujudkan lebih banyak lagi sekolah seperti ini.

“Untuk itu, kita perlu sumbangan idea, wang ringgit dan masa masyarakat ke arah melahirkan generasi yang celik agama, celik akidah bersesuaian dengan keperluan masa kini,” katanya.

Haron yang juga penaung sekolah berkenaan berkata, sekolah berkenaan kini sudah seratus peratus siap untuk fasa pertama yang dijangka akan mula beroperasi pada sesi persekolahan akan datang.

“Setakat ini, 250 pelajar sudah bersedia menduduki sekolah ini sebaik sesi penggal baru tahun hadapan. Kos bagi pembinaan awal sekolah ini membabitkan RM400,000 yang kesemua hasil sumbangan individu.

“Kita merancang untuk memuatkan seramai 500 pelajar sebaik projek fasa kedua disiapkan tidak lama lagi,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...