Klik aje le

Wednesday, December 3, 2014

Pentingkan guru tempatan, bukan ambil orang luar

Mohamed Sabri Mohd Arsad

SHAH ALAM - Ramai lagi rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Mandarin boleh menjadi tenaga pengajar di sekolah kebangsaan apabila ia dicadangkan sebagai subjek elektif bermula tahun hadapan.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Datuk Mohamed Sabri Mohd Arsad berkata, kerajaan disaran tidak terlalu bergantung kepada negara luar untuk meningkatkan pencapaian pendidikan negara.

Menurutnya, dengan memberikan kepercayaan kepada rakyat sendiri, ia juga secara tidak langsung dapat mengelakkan pengangguran dalam kalangan graduan pendidikan.

“Adakah cadangan itu mencerminkan memang kita tidak layak dapatkan pakar Mandarin sendiri di negara ini?

“Sebenarnya kita ada ramai rakyat yang menguasai bahasa Mandarin dan pakar dalam bidang itu dan boleh diambil untuk jadi pengajar kepada pelajar Melayu di sekolah kebangsaan,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membawa masuk pakar dari China bagi mengajar bahasa Mandarin dan Matematik di sekolah kebangsaan bermula tahun depan.

Mohamed Sabri berkata, tindakan kerajaan itu mungkin akan meningkatkan kos kepada kerajaan berikutan cadangan sama untuk bahasa Inggeris sebelum ini dilihat membawa perubahan yang sedikit.

“Kita tengok yang berlaku sekarang dalam bahasa Inggeris, kesannya tidak seberapa tetapi kerajaan tanggung kos yang besar,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, beliau menyokong cadangan agar pelajar Melayu menguasai tiga bahasa utama negara.

“Pelajar Melayu tambah penguasaan bahasa lain memang satu cadangan baik dan saya juga telah nyatakan perkara itu dalam perjumpaan bersama dengan Kementerian Pendidikan sebelum ini,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...