Klik aje le

Friday, March 6, 2015

Dunia ladang bagi akhirat

Apakah kita masih mahu bertanggung dalam bersedekah? - Gambar hiasan

MOHD RIDUAN KHAIRI (KETUA JABATAN PENERBITAN ILMU)
6 Mac 2015

DARIPADA Ibnu Umar RHA, dia berkata, Rasulullah SAW memegang kedua bahu saya lalu bersabda: "Jadilah engkau di dunia seperti orang asing atau orang yang melewati suatu daerah." Ibnu Umar berkata: "Jika kamu berada di waktu petang jangan tunggu esok pagi, dan jika kamu berada di waktu pagi hari jangan tunggu sehingga ke petang hari. Gunakanlah kesihatanmu untuk (persediaan) sakitmu, dan kehidupanmu untuk kematianmu." (Riwayat Bukhari, Hadis ke-40 Matan Arbain An-Nawawiyah)

Kehidupan di dunia adalah sementara. Sebagaimana diibaratkan oleh Baginda SAW. Asal anak Adam itu semua memiliki kampung halaman dan istana di dalam syurga.

Kemudian kita kembara seketika di dunia. Bagi menanam dan menyiram benih-benih amal. Ibn Umar pemuda cerdas anak kepada sahabat besar, Umar al-Khattab menjelaskan ketika tiba waktu petang, janganlah menanti esok pagi. Ketika tiba waktu pagi, usah tunggu waktu petang.

Kerana umur anak manusia amat terhad. Nabi Adam AS asalnya dikurniakan usia 1,000 tahun. Nabi Nuh AS disebutkan oleh Ibn Kathir dalam Bidayah wan Nihayah memiliki 1,700 tahun. Manakala kita hanya sekitar 60-70 tahun sahaja. Bahkan Nabi SAW menegaskan yang mencapai usia 70 dalam kalangan umatnya amatlah sedikit.

Dan kita berada di babak akhir dari episod akhir peradaban manusia di atas dunia ini. Kematian menanti di mana-mana baik di atas katil hospital mahupun berpusara di jalan raya. Dari usia senja hingga ke usia dini.

Imam Bukhari dalam sahihnya membawakan hadis banyaknya kematian mengejut pada akhir zaman. Dan beberapa ketika selepas itu beliau bersenandung dan nafas Imam Bukhari juga berakhir saat itu. Demikian diceritakan oleh Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fathul Bari Syarah Sahih al-Bukhari.

Bertangguh amal, taubat

Mukmin yang bijak beramal seolah-olah kematian itu berada di pelupuk matanya. Orang munafik yang bodoh menyangka dan mengharap usianya 1,000 tahun dan gemar menangguhkan amal dan taubat. Sehingga ALLAH SWT merakamkan ketika nyawa mereka berada di kerongkongan: "Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal maut kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan katanya: "Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajal matiku - ke suatu masa yang sedikit sahaja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi daripada orang-orang yang soleh." (Surah Al-Munafiqin: 10)

Realitinya berapa ramai umat Islam di luar sana, bahkan mungkin termasuk kita menyarung ‘jubah’ sikap golongan munafik ini!

Bagai ibarat pepatah Melayu yang diubah-suai, ‘Sorong papan tarik papan, buah keranji di dalam perahu, diajak makan mereka makan, diajak sedekah mereka tak mahu.’

Umat pendek umur

Paradigma ini perlu diungkai dan dirubah. Baginda SAW mengingatkan pendeknya umur umat akhir zaman. Dan salah satu daripada amal ibadah yang dapat memanjangkan pahala ibadah kita ialah ibadah sedekah. Secara khusus Baginda SAW mengingatkan golongan wanita: "Wahai Aisyah, berlindunglah daripada api neraka walaupun hanya dengan (sedekah) separuh biji kurma, kerana ia menutupi hajat bagi orang yang lapar, sebagaimana menutupi hajat orang yang kenyang." (Riwayat Ahmad dipetik daripada Sahih Targhib wa Tarhib)

Dalam hadis yang lain Baginda SAW mengingatkan: "Siapa yang sanggup mendinding dirinya daripada api neraka. Walaupun dengan (bersedekah) sebelah kurma, maka hendaklah dia lakukan (segera)." (Riwayat Muslim)

Satu lagi hadis Baginda SAW dari ‘Adi bin Hatim RA berkata: "Bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita mengenai mereka, lalu Baginda SAW berlindung kepada ALLAH daripadanya, dan memalingkan mukanya tiga kali. Kemudian Baginda SAW bersabda: "Peliharalah dirimu daripada api neraka, walaupun dengan (bersedekah) sebelah buah kurma. Jika kamu tidak sanggup, maka dengan tutur kata yang baik." (Riwayat Muslim)

Analoginya ialah rumah seseorang takdirnya terbakar. Apakah tuan rumah itu masih bersantai-santai dan bertangguh-tangguh untuk menelefon pihak bomba atau segera melakukannya. Tidak dapat kita bayangkan bagaimana tuan rumah bingkas bangun menyelamatkan harta-benda.

Di dunia, masih ada peluang dibantu oleh jiran dan pihak bomba. Sebaliknya di akhirat, masing-masing sibuk dan cakna hanya dengan urusan diri mereka sendiri sahaja. Kerana di depannya sedang marak api yang menjulang tinggi yang panasnya 70 kali ganda daripada api di dunia.

Bersegera buat baik

Apakah kita masih menunggu-nunggu, menanti-nanti dan bertangguh-tangguh untuk bersedekah? Ini jauh daripada sifat orang yang beriman sebagaimana yang ALLAH gambarkan dalam firman-Nya: "Dan bagi tiap-tiap umat ada kiblatnya (sendiri) yang ia menghadap kepadanya. Maka berlumba-lumbalah kamu (dalam berbuat) kebaikan. Di mana saja kamu berada pasti ALLAH akan mengumpulkan kamu sekalian (pada hari kiamat). Sesungguhnya ALLAH Maha Kuasa atas segala sesuatu." (Surah Al- Baqarah: 148)

Dalam ayat ini ALLAH memerintahkan fastabiqul khairat (bersegeralah dalam berbuat baik). Imam An Nawawi dalam kitabnya Riyadhush Shalihiin meletakkan bab khusus dengan judul bab "Bersegera dalam melakukan kebaikan, dan dorongan bagi orang-orang yang ingin berbuat baik agar segera melakukannya dengan penuh kesungguhan tanpa ragu sedikit pun".

Seterusnya al-Imam an-Nawawi menjelaskan melakukan kebaikan adalah hal yang tidak boleh ditunda, melainkan harus segera dilaksanakan. Kerana kesempatan hidup sangat terbatas. Kematian boleh sahaja datang secara tiba-tiba tanpa diketahui sebabnya. Kerana itu sementara masih ada nyawa, segeralah berbuat baik. Lebih dari itu bahawa kesempatan berbuat baik belum tentu setiap saat kita peroleh.

Oleh yang demikian sekiranya diberi kesempatan untuk melakukan amal soleh, maka jangan ditunda-tunda lagi, sebaliknya segera dilaksanakan. Justeru, ALLAH dalam al-Quran selalu menggunakan istilah bersegeralah, seperti fastabiquu atau wa saari’uu yang maksudnya sama, bergegas dengan segera, jangan ditunda-tunda lagi untuk berbuat baik atau memohon ampunan ALLAH. Dalam hadis Rasulullah SAW. Juga menggunakan istilah baadiruu maksudnya sama, tidak jauh dari bersegera dan bergegas.

"Wahai Tuhan Kami. Berikan kami seluruh kebaikan di dunia dan seluruh kebaikan di akhirat. Serta selamatkan kami dari azab api neraka." (Surah Al-Baqarah: 201)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...