Klik aje le

Saturday, June 13, 2015

: Isu Farah Ann: 'Gimnastik bukan untuk wanita Islam'




KUALA LUMPUR: Mana-mana individu beragama Islam tidak boleh sewenang-wenangnya mempertikaikan hukum menunjukkan aurat kepada bukan muhrim yang sudah jelas termaktub di dalam al-Quran dan Hadis termasuk larangan membuka aurat di dalam isu sukan.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, isu itu seharusnya sudah jelas sejak berzaman dan tidak terlalu terikut-ikut dengan konsep serta cara pemakaian yang diperkenalkan negara Barat.

"Gimnastik bukan untuk wanita Islam, menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan sudah jelas haram hukumnya bagi mereka. Jika mahu juga menyertainya, gimnas berkenaan perlu mencari serta memakai pakaian yang menutup aurat dan sekali gus mungkin tidak sesuai dengan sukan berkenaan.

"Memang itu yang seharusnya, bukan sahaja gimnas, ia termasuk sukan lain seperti bolasepak kepada lelaki, sepatutnya seluar melepasi paras lutut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

BACA: Biarlah Tuhan sahaja yang menghakimi Farah Ann - Khairy Jamaluddin


“Gimnastik bukan untuk wanita Islam, menunjukkan aurat dan bentuk tubuh badan sudah jelas haram hukumnya bagi mereka

- Dr Harussani
Dr Harussani mengulas sikap pengguna media sosial yang menyelar gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi selepas gambarnya dimuat naik di laman Facebook sebuah stesen televisyen dengan dengan penampilan pakaian ketat gimnastik yang dikatakan menampakkan lurah faraj.

Aurat merupakan bahagian badan yang tidak boleh dilihat oleh orang ramai (seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan bagi perempuan dan di antara pusat dgn lutut bagi lelaki) menurut hukum Islam.

BACA: 'Bising hanya pada Farah Ann, diam bila tengok drama peluk-peluk' - Dr Mariani


Sebelum ini, Pakar Psikologi di Jabatan Psikologi Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM) Prof. Madya Dr. Mariani Mohd. Nor meminta masyarakat bersikap adil terhadap gimnas berusia 21 tahun itu yang dikatakan memuat naik gambar menunjukkan lurah farajnya setelah memenangi pingat emas pada Sukan SEA di Singapura baru-baru ini.

Kata Dr. Mariani, sifat menghentam dan suka melihat keburukan orang lain dilihat satu fenomena biasa yang berniat sengaja untuk tujuan sensasi.

BACA: Farah Ann 'serang' pengkritik: Tong kosong memang berbunyi nyaring

Dalam pada itu, ketika ditanya reaksi pengguna media sosial yang mempertikaikan pemakaian Farah, ini kata Dr Harussani;

"Mereka itu kurang bijak kerana suka mempertikaikan isu yang sudah jelas dalam hukum Islam, jangan bermain dengan hukum Islam, agama tidak pernah kata kita boleh menunjukkan aurat kepada orang."

Terbaharu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di dalam catatan Twitternya meminta masyarakat tidak mengganggu Farah dan menyatakan biar tuhan sahaja yang menghakiminya.

1 comment:

Anonymous said...

Sian kat dia,
sian kat mak ayah dia,
sian kat abg abg dia.

Tak mampu nak tegah, tegur.
Tak mampu tegur, doakan mudah mudahan taubat.
Anyway kita semua pun wajib taubat.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...