Klik aje le

Wednesday, September 23, 2015

Jumlah penumpang di hari kedua operasi tren Makkah


Makkah Metro Southern Line


22 SEPTEMBER 2015


KUALA LUMPUR - Memasuki operasi hari kedua, cabaran yang menanti para petugas Al Mashaaer Al Muggaddasah Makkah Metro Southern Line (MMMSL) di Tanah Suci Makkah dijangka jauh lebih mencabar daripada semalam.

Menurut Pengarah Operasi MMMSL, Muhammad Burhanordin Ismail biarpun bermula dengan pergerakan normal untuk berhenti di semua stesen sehingga pukul 7 malam (waktu Arab Saudi), terdapat kalangan para jemaah yang dijangka bergerak awal
ke stesen Arafah 1, 2 dan 3 untuk sampai lebih awal bagi ibadat wukuf di Arafah.

"Berdasarkan pengalaman lepas, peningkatan jumlah jemaah ke Arafah akan berlaku secara berperingkat. Jumlah besar jemaah akan datang ke Arafah selepas kami memulakan Pergerakan B," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagi Pergerakan A, tren berhenti di semua stesen, sementara Pergerakan B yang bermula pukul 8 malam ini (waktu Arab Saudi) sehingga pukul 10 pagi esok, tren akan berhenti mengambil penumpang di Mina 1, Mina 2 dan Muzdalifah 3 dan menurunkan mereka di stesen-stesen Arafah 1, 2 dan 3.

"Kita akan melihat sesuatu yang jauh berbeza dengan pergerakan penumpang pada hari pertama semalam. Hari pertama lebih merupakan perkhidmatan pengenalan dan lebih digunakan untuk mobilisasi para petugas di stesen.

"Apapun, semua para petugas sudah bersedia untuk melaksanakan tugas mereka sebaik mungkin. Mereka sudah diberikan latihan secukupnya untuk tugasan masing-masing," kata Muhammad Burhanordin.

Secara keseluruhan, perkhidmatan MMMSL menggunakan lebih 7,000 petugas dalam pelbagai kategori untuk melaksanakan operasi rel yang dianggap paling mencabar dalam industri ini kerana pergerakan yang padat dalam tempoh yang singkat.

Menghubungkan tiga lokasi wajib haji Arafah, Muzdalifah dan Mina, perkhidmatan rel MMMSL beroperasi hanya tujuh hari dalam setahun khusus untuk urusan pengangkutan awam musim haji.

Umat Islam di seluruh bandar Makkah akan berhimpun di Padang Arafah esok bagi menyempurnakan salah satu rukun haji sebelum bergerak ke Muzdalifah pada hari yang sama. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...