Klik aje le

Thursday, September 10, 2015

Murid hilang, ibu bapa diberi kaunseling



6 SEPTEMBER 2015


GUA MUSANG - Ibu bapa tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi di sini yang hilang sejak 23 Ogos lepas, diberi kaunseling supaya fikiran mereka tidak tertekan dengan kehilangan anak masing-masing.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, pelbagai pihak datang memberi kaunseling kerana sebelum ini mereka kelihatan termenung kerana risau dengan keselamatan anak-anak mereka.

"Selepas diberi kaunseling secara berulang kali, mereka kembali tenang dan semakin menerima keadaan itu," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat operasi mencari murid-murid terbabit oleh Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Saiful Bahri Abdullah di Bilik Operasi Pos Tohoi di sini, hari ini.

Dalam kejadian 23 Ogos lepas, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara tujuh dan 11 tahun bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka didapati mandi di sungai tanpa kebenaran.

Ahmad Jazlan berkata, kementeriannya memberi perhatian serius terhadap insiden itu dan mengharapkan semua mangsa dapat ditemui dalam keadaan selamat.

Ahmad Jazlan turut meminta pihak tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah dan pembohongan yang dibuat melalui media sosial terhadap kejadian itu dan pasukan mencari.

Katanya operasi mencari dan menyelamat sedang giat dilakukan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Relawan Malaysia (RELA), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).

Sementara itu, Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Hasnan Hassan yakin dengan penyertaan banyak anggota daripada pelbagai agensi kerajaan dan penduduk Orang Asli dalam operasi mencari itu akan menemui murid-murid terbabit.

"Kita menghulurkan banyak bantuan makanan sama ada untuk anggota pasukan mencari mahupun keluarga murid terbabit dan kita tidak akan mengabaikan tanggungjawab itu selagi murid-murid berkenaan tidak dijumpai," katanya yang turut hadir mengiringi lawatan Ahmad Jazlan.

Beliau kesal dengan tindakan pihak tertentu yang menyalahkan pihaknya dengan menuduh disebabkan kelemahan jabatan itu kejadian berkenaan berlaku.

Katanya JAKOA tidak pernah mengabaikan tanggungjawab menjaga kebajikan masyarakat Orang Asli di negara ini. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...