Klik aje le

Thursday, September 10, 2015

Polis temui stokin dipercayai milik murid


Kawasan hutan yang dipercayai tempat tujuh pelajar itu hilang. – Foto Sinar Harian

1 SEPTEMBER 2015

GUA MUSANG - Stokin dipercayai milik salah seorang daripada tujuh murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Pos Tohoi di sini, yang hilang sejak 10 hari lepas, ditemui oleh pasukan mencari hari ini.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Saiful Bahri Abdullah berkata, sehelai stokin berwarna putih itu dijumpai pasukan mencari kira-kira 11.30 pagi di kawasan hutan, lebih sejam berjalan dari SK Pos Tohoi.

"Bahagian tapak stokin yang ditemui itu berwarna hitam dipercayai mereka berjalan hanya memakai stokin sebelum membuangnya untuk meneruskan perjalanan di hutan itu," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Saiful Bahri berkata, penemuan stokin berkenaan memberi petunjuk baharu untuk pasukan mencari menjejaki laluan tujuh murid terbabit yang mungkin tersesat dalam kawasan hutan tersebut.

Dalam kejadian 23 Ogos lalu, tujuh murid Orang Asli iaitu enam perempuan dan seorang lelaki berusia antara 7 dan 11 tahun dari SK Pos Tohoi bertindak melarikan diri dari asrama sekolah kerana takut dikenakan tindakan oleh guru selepas mereka dikesan mandi di sungai tanpa kebenaran.

Saiful Bahri yang juga komander operasi mencari itu berkata operasi mencari tujuh murid berkenaan akan dipertingkatkan sehingga mereka ditemui.

Beliau berkata operasi mencari itu membabitkan 65 anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia dan Jabatan Sukarelawan Malaysia.

Katanya, gerakan mencari murid terbabit agak sukar kerana tidak boleh menggunakan kenderaan kerana laluan berbukit dan terpaksa berjalan secara berkumpulan. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...