Klik aje le

Friday, September 4, 2015

Proton Iriz – adakah ia Betul-Betul Onz?

(Saya mulakan dengan ucapan bahawa laporan ini adalah Tanpa Prejudis. Kemajuan produk di Proton agak perlahan, anehnya kekurangan kelengkapan atau kakitangan bukanlah sebab yang utama. Yang pasti, Proton semakin tinggi dengan keyakinan diri untuk berani mendengar rintihan ‘orang luar’. Sekarang, eksekutif kanan Proton pun kelihatan seperti berminat untuk mendengar pendapat, komen dan kritikan yang diberikan – seterusnya bertindak ke atas apa yang boleh – agar produk mereka dapat diperbaiki. Model Iriz ini penzahiran komitmen yang wujud dan seperti yang anda bakal baca di sini, ia memang satu produk yang mantap. Jika sebelum ini saya tidak pernah menganggap model Preve dan Suprima S telah melompat cukup jauh daripada Proton yang masyarakat sudah klise-kan, Iriz pula sangat berbeza.

Tapi ia masih boleh dibaiki.

- Ahmad Zulizwan)


Akhirnya, dapat juga kami memandu uji Proton Iriz. Pernah dengar nama kereta ini? Ini bukan satu soalan merapu; sewaktu mengambil gambar kereta ini, saya dan seorang rakan lagi didatangi pemuda yang dengan muka selamba bertanya, “kereta apa ni, abang?” Kerana tidak berpuas-hati dengan ‘lawak’ pemuda tersebut, rakan saya pun bertanya lagi, “Kau ni biar betul, tak pernah dengar pasal Proton Iriz?”

“Saya tak baca berita sangat…”

Dia senyum malu. Tutup tingkap kereta, pandu ke tempat lain.

Pandu uji untuk para media ini membawa kami ke Pulau Pinang, secara kasarnya 20% menerusi ‘jalan dalam’ dan selebihnya menggunakan lebuhraya. Ini satu faktor yang penting kerana bahagian pertama sesi ini adalah satu cabaran ekonomi (penggunaan bahan api) – dan anda boleh membacanya di segmenJimat Minyak ke Tak?

Kami dapat menguji Proton Iriz dengan kedua-dua pilihan enjin untuk sesi pandu uji ini: 1.3 liter dan 1.6 liter, walaupun hanya 1.3 liter sahaja yang datang dengan kotak gear manual.

Luaran
Tak banyak yang perlu dinyatakan di sini. Walaupun soal ini adalah mengikut citarasa individu, saya juga yakin bahawa tiada yang akan berkata bahawa Proton Iriz ini tidak menawan. Dari segi perbandingan, ia mungkin rekaan yang paling berani dan menonjol – tidak seperti, sebagai contoh, Kia Picanto atau Myvi, yang masing-masing memilih penggayaan yang lebih ringkas tetapi menjadi.

Namun, rekaan Proton ini juga tidak terlalu kelam-kabut. Kombinasi gril hadapan, lampu utama, spoiler dan diffuser belakang semuanya mendapat kepentingan visual yang sama. Bagi varian Standard pula, ketiadaan diffuser, spoiler dan aloi 15 inci (aloi 14 inci digunakan untuk Standard) tidak pula mencacatkan rupa kereta.

Dalaman
Akhirnya Proton benar-benar dapat menghasilkan kabin yang kelihatan tidak janggal. Tiada penggunaan bahan-bahan dengan permukaan yang tidak kena antara satu sama lain, dan tiada juga ruang-ruang kosong yang kekok pada papan kemuka (ingat Preve? Suprima S?) Nak dikatakan yang Iriz ini kecil pun tidak benar, kerana sebenarnya model baru ini secara fizikalnya lebih besar daripada Proton Saga FLX.


Iriz FLX Beza
Panjang 3920 4278 -358
Wheelbase 2555 2465 +90
Lebar 1722 1680 +42
Tinggi 1554 1520 +34

Walaupun begitu, ini tidak bermakna kabinnya lebih luas daripada Saga FLX. Ia jelas lebih kecil daripada FLX, tetapi jauh dari sempit. Sebuah keluarga 4 beranak masih dapat berasa selesa, cuma mungkin ruang bagasi agak terhad. Dengan saiz 215 liter, ia hanya 7 liter lebih besar daripada ruang yang sama di dalam Myvi. Seperti yang telah saya utarakan sebelum ini, bukaan ruang kargo ini tidak memudahkan pengisian – ia terlalu tinggi dan kecil.

Papan kemukanya dikemasi dengan kesan jahitan (ala Vios baru dan Honda City), dan didominasi warna gelap. Meter-meternya ringkas dan mudah dibaca; sepasang untuk kelajuan dan RPM, yang menghimpit MID (multi information display). MID ini boleh mempamerkan jauh perjalanan (Trip A, B dan C), anggaran baki pemanduan daripada isian tangki, jarak & masa untuk ke servis seterusnya, dan penggunaan bahan api (purata dan serta merta), di samping suhu enjin serta jumlah petrol dalam tangki. Penukaran data di dalam MID ini dibuat dengan butang ‘Info’ yang terletak di hujung batang kawalan pengelap cermin.

Pemain audio dengan skrin sentuh Iriz ini (hanya untuk varian 1.6 liter, Executive dan Premium) mudah digunakan dari segi kelajuannya. Tekan sahaja dan ia akan memberi tindak balas, tetapi untuk saya sendiri menu-nya sedikit mengelirukan. Ini bukan satu masalah bagi pemilik kerana mereka ada masa untuk mempelajari bagaimana untuk mengendalikannya.

Isu yang lebih besar adalah skrin ini tidak begitu terang. Di bawah terik matahari, terdapat kilauan yang menggangu pandangan pemandu kepada unit 6.2 inci ini. Lebih teruk jika lampu utama dipasang yang secara automatik akan memalapkan skrin – langsung tidak nampak apa yang ditunjukkan. Ada yang akan berkata bahawa lampu tidak akan dipasang jika cuaca terang, tetapi ini tidak semestinya benar. Cuaca hujan, ataupun memandu di dalam konvoi memerlukan lampu untuk dipasang.

Kerusi yang dipasang pula mendapat corak tersendiri, menjadikannya kelihatan lebih sporty dan menarik. Juga penting adalah faktor keselesaanya yang lebih dari memadai.

Memandu
Mungkin anda belum sedari bahawa ini adalah Proton pertama sejak Satria GTI di mana ia tidak dikaitkan dengan nama Lotus. Model terakhir sebelumnya, Suprima S ada juga mendapat input daripada anak syarikat Proton ini (bahkan saya sendiri nampak sebuah Suprima S di kilang Lotus hanya beberapa minggu sebelum ia dilancarkan), tetapi tidak bagi Iriz. Jurutera-jurutera tempatan sudah mendapat kepakaran dan pengalaman yang secukupnya oleh kerana kerjasama kedua-dua pihak selama ini.

Hasilnya amat memuaskan, tetapi adakah ini berita baharu? Semua model Proton yang dibangunkan sendiri mempunyai pengendalian yang sangat baik, bahkan lebih dari itu. Lihat sahaja model Inspira. Ia mempunyai kelincahan dan pengendalian yang lebih baik daripada model asasnya.

Begitulah juga untuk Iriz ini, ia mencengkam kuat di jalan, namun masih lagi boleh diasak untuk memberi pengendalian seperti sebuah hatchback, secara tradisinya, patut tunjukkan. Ini akan saya jelaskan sebentar lagi.

Tetapi ada kalanya sterengnya terasa lambat untuk bertindak, suatu keadaan yang berkemungkinan datang daripada penggunaan stereng elektrik yang pertama kali digunakan oleh Proton. Dan ia juga tidak menyakinkan sewaktu di lebuhraya – stereng perlu kerap diperbetulkan dan ‘on-centre feel’-nya juga tidak memuaskan. Untuk jangka masa lama ini boleh memenatkan pemandu.

Dan pada waktu pemanduan ini jugalah kelemahan terbesar Iriz mula timbul – kotak gearnya. Ia dibekalkan oleh pengeluar sama seperti transmisi yang dipasang pada Saga FLX (iaitu Punch), tetapi ditambah baik untuk prestasi yang lebih memberansangkan.

Tiada yang bagus dapat saya katakan mengenai kotak gear CVT ini pada Saga FLX, dan segala talaan yang dibuat kepada kotak gear pada Iriz belum lagi dapat memberi keyakinan. Teknologi dan pengetahuan mengenai CVT sudah agak tinggi, saya agak, kerana melihat kepada unit-unit yang dibangunkan oleh Nissan dan Honda, sebagai contoh, ia mampu untuk beroperasi dengan senyap dan tidak jauh beza dengan prestasi sebuah automatik dengan torque convertor.

Jurutera-jurutera kanan Proton sudah mendengar komen ini (dan ia komen yang sama daripada setiap wakil media yang datang) dan menjelaskan bahawa mereka akan cuba lagi untuk mendapatkan kaliberasi yang terbaik sistem CVT jenis-klac ini.

Di samping itu, kualiti NVH (kebisingan, getaran dan kekasaran) di dalam kabin turut akan dikaji lagi, terutamanya dengan melihat kepada sambungan (mounting) enjin/transmisi kepada kerangka kereta. Jumlah penebat bunyi yang perlu digunakan juga perlu dinilai semula.

Keadaan jauh berubah apabila berpindah ke kereta dengan transmisi manual 5-kelajuan (Nota: buatan Getrag. Proton belum lagi menghasilkan kotak gear mereka tersendiri atas sebab-sebab kos). Keadaan jauh lebih tenang dan kuasa yang terhasil daripada enjin 1.3 liter itu dapat menyamai apa yang diberikan oleh enjin 1.6 liter sebelumnya.

Prestasi transmisi manual itu pun boleh dibanggakan – ia licik dan memberikan keyakinan dengan setiap lontaran gear. Klac tidak terlalu berat dan mudah untuk mencari titik dimana output mula terasa. Paling bermakna adalah bagaimana ia menyalurkan kesemua 94hp daripada enjin keluar dengan lancar, tidak seperti 107hp yang bagaikan tersekat oleh kotak gear CVT pada enjin 1.6 liter tadi.

Selaras dengan itu, secara semulajadi kereta yang dipasang dengan kotak manual bagaikan lebih selesa. Kerana ia lebih senyap dan tenang. Model dengan transmisi CVT juga boleh terasa selesa, jika pemandu tidak terlalu galak dengan pendikitnya.

Kelajuan maksima yang dapat dicapai di atas lebuhraya adalah hampir 150km/sj (bagi 1.6 liter, CVT) dan hampir 160km/sj bagi 1.3 liter manual. Jelas sewaktu pemanduan bahawa nisbah gear dan enjin itu sendiri tidak menggemari kelajuan enjin yang tinggi. Kuasa enjin bagaikan mendatar apabila melepasi sekitar 4500rpm.

Nombor-nombor ini tidaklah begitu membanggakan – terutamanya bila dibandingkan dengan enjin yang lebih moden – tetapi kita tunggu sahaja varian dengan enjin yang lebih berkuasa daripada Proton. Cuba lihat meter kelajuan di Iriz ini, nombor terakhir adalah 240km/sj.

Memang Proton sedang mengusahakannya, dan dengan enjin turbo Proton sekarang kami diberitahu yang mencapai 200km/sj pun bukan masalah.

Program terakhir sebelum bertolak balik ke Shah Alam adalah pemanduan lebih agresif, dan diadakan di kawasan letak kereta Stadium Batu Kawan. Di sini juga varian yang dicari muncul – Iriz 1.6 liter manual. Namun di litar autocross singkat yang ada, sukar untuk benar-benar mempelajari perbezaan di antara enjin 1.3 liter dan 1.6 liter dengan kotak gear sama. Varian yang dicuba sewaktu sesi ini bagaikan lebih pantas, tetapi ia satu trek yang tidak memerlukan gear ketiga pun.
Di sinilah sifat sebenar Iriz diwaktu keadaan ekstrem dicuba. Body roll terkawal dan bahagian hadapan pantas untuk mengubah arah. Permukaan jalan sangat berpasir jadi cengkaman dikompromi oleh kehendak brek dan penukaran arah. Tayar Silverstone Synergy juga tidak membantu; penggunaan tayar yang lebih sesuai pasti akan menonjolkan kebolehan hatchback ini dengan lebih berkesan.

Jika keadaan menjadi cemas sekalipun, sistem VDC (Vehicle Dynamic Control akan bertindak untuk cuba mengembalikan cengkaman. Dan jangan lupa bahawa Proton Iriz diiktiraf oleh pihak ASEAN NCAP dengan markah penuh 5-bintang. Seperti yang kami utarakan di sini, penggunaan SBR (seat belt reminder) dan sistem kestabilan elektronik membantu di dalam menaikkan markah ke peringkat yang tertinggi.

Seperti yang telah saya suarakan kepada beberapa eksekutif kanan Proton sendiri, Proton Iriz adalah penghasilan yang sangat positif. Tetapi adakah Proton – Proton Edar, khususnya – bersedia untuk seiring dengan apa yang telah diusahakan oleh ratusan jurutera dan pereka yang terlibat?

Kalau produk sudah bagus adakah sikap jurujual yang acuh tak acuh apabila pelanggan masuk ke dalam bilik pameran mampu untuk menjadikan syarikat nasional berbilion ringgit ini menjadi multinasional? Ataupun pengurus yang bagaikan kebal apabila pelanggan berungut kerana ada alat ganti yang tidak berkualiti digunakan?

Proton adalah sebuah syarikat teknologi tinggi, dan syarikat industri berat. Tetapi ia juga mempunyai teras sebagai sebuah institusi perkhidmatan. Saya sendiri mempunyai 2 buah Proton, dan sebaik sahaja waranti tamat, terus saya ‘lari’ ke bengkel lain, dan ini lumrah bagi sejumlah besar pelanggan Proton.

Dengan semua fungsi-fungsi baharu yang ada pada Iriz, terutamanya yang berkaitan elektronik, pelanggan perlu tahu bahawa Proton boleh memberi mereka perkhidmatan selepas jualan yang merekaberhak dapat.


(Klik sini untuk galeri gambar penuh)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...