Klik aje le

Friday, October 2, 2015

Tidak perlu minta maaf


MOHD. YUSOF AHMAD

MAISARAH SHEIKH RAHIM | 01 Oktober 2015 12:49 AM

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Jabatan Agama Is­lam Pahang (JAIP) tidak perlu meminta maaf atas dakwaan yang dibuat dalam teks khutbah Aidiladha yang dikatakan DAP sebagai menentang Islam kerana semua orang tahu parti itu bertindak sedemikian sejak sekian lama.

Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad berkata, DAP secara konsisten tidak bersetuju dengan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 Kelantan, sekali gus memberi maksud bahawa mereka menentang Islam kerana membantah pelaksanaan hukum Islam.

Jelas beliau, JAIP hanya membuat teguran berdasarkan hukum yang terkandung dalam al-Quran yang mengingatkan umat Islam supaya bergabung dan bersatu suara walaupun berlainan dasar politik mereka.

Lebih menyedihkan, beliau turut kesal dengan tindakan orang Islam sendiri dalam parti itu yang tidak mempertahankan institusi Islam, sebaliknya mahu mengenakan tindakan undang-undang.

“Menentang enakmen syariah bermakna menentang Islam kera­na ia adalah hukum Islam. JAIP tidak melakukan apa-apa kesilapan pun. Jadi buat apa nak minta maaf? Kalau dibiar senyap (tidak melakukan teguran), kita tidak tahu apa lagi orang bukan Islam me­ngusik hal ehwal Islam.

“Sesiapa pun atau mana-mana parti tidak sepatutnya ikut ‘sedap mulut’ menyentuh tentang Islam sedangkan mereka tidak tahu apa-apa tentang Islam. Apatah lagi orang Islam sendiri rela diperalat untuk menentang agama sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beberapa mufti semalam meminta JAIP tidak apologetik dan tidak tunduk kepada DAP kerana Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman mempunyai asas yang kukuh dalam mempertahankan teks khutbah tersebut yang dikatakan mendakwa parti itu sebagai menentang Islam.

Sebelum ini, DAP melalui Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puri memberi masa lima hari sehingga hari ini untuk JAIP memohon maaf secara terbuka dan menarik balik khutbah itu atau berdepan tindakan undang-undang.

Walau bagaimanapun, Abdul Rahman sebaliknya tidak gentar dengan ancaman DAP itu kerana khutbah tersebut merupakan satu nasihat kepada orang Islam supaya bersatu padu dan bukan bersama dengan pihak yang mencabar Islam.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, mana-mana pihak tidak sepatutnya menyalah tafsir isi kandungan khutbah tersebut kerana ia hanya bertujuan untuk memberi nasihat dan peringatan kepada umat Islam supaya terus bersatu padu bagi mengelak perpecahan.

Sehubungan itu, kata beliau, sesiapa pun tidak perlu melatah kerana peringatan itu selari dengan ajaran al-Quran.

“Masing-masing perlu menjaga sensitiviti agama, menghormati antara satu sama lain,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/politik/tidak-perlu-minta-maaf-1.141545#sthash.XTcWLfSS.dpuf

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...