Klik aje le

Sunday, July 17, 2016

Lapan dalang lari ke Greece, Turki tangkap 2,839 askar, pecat 2,745 hakim


Anggota tentera yang terbabit dalam rampasan kuasa dan berkawal di Jambatan Bosphorus, menyerah diri kepada polis.

July 16, 2016 Berita DuniaBerita Utama
ISTANBUL, Sabtu – Kira-kira 2,839 anggota tentera, termasuk yang berpangkat tinggi ditangkap dalam operasi besar-besaran di seluruh Turki, selepas satu cubaan rampasan kuasa oleh sekumpulan askar dipatahkan, semalam.

Dalam apa yang dikatakan sebagai ‘titik hitam dalam sejarah demokrasi Turki’, Perdana Menteri, Binali Yildirim berkata, 161 orang terbunuh dan 1,440 lagi cedera dalam cubaan rampasan kuasa yang bermula malam kelmarin dengan pemberontak menggunakan helikopter dan kereta kebal.

Lapan pegawai kanan tentera yang terbabit dalam cubaan rampasan kuasa itu melarikan diri ke Greece menggunakan helikopter memohon suaka politik.

Greece sedang mempertimbangkan permohonan Turki untuk mengekstradisi kumpulan terbabit.

Terdahulu, kira-kira 200 askar tidak bersenjata meninggalkan Ibu Pejabat Tentera Turki di Ankara dan menyerah diri kepada polis, lapor agensi berita Anadolu.

Pemangku Ketua Angkatan Tentera Turki, Jeneral Umit Dundar berkata, pegawai atasan tentera udara, polis tentera dan unit perisai, terbabit secara langsung dalam cubaan rampasan kuasa itu.

Bunyi letupan dan tembakan kedengaran di Ankara dan Istanbul, serta di beberapa kawasan lain sepanjang malam dan puluhan ribu rakyat negara itu keluar di jalan raya bagi menghalang rampasan kuasa berkenaan.

Media tempatan pula melaporkan 2,745 hakim turut dipecat dalam usaha kerajaan Turki ‘membersihkan ancaman’.

Jambatan Bosphorus dibuka semula kepada lalu lintas selepas tentera pemberontak menyerah diri kepada polis, tatkala orang ramai masih terkejut dengan insiden itu.

Walaupun, Presiden Recep Tayyip Erdogan dikatakan penyebab perpecahan pendapat, namun rakyat Turki melihat tindakan tentera untuk merampas kuasa bukan jalan penyelesaian.

Beberapa jam selepas menggagalkan cubaan rampasan kuasa itu, Konsulat Amerika Syarikat (AS) di selatan wilayah Adana melaporkan pihak berkuasa negara itu menghalang keluar masuk ke pangkalan tentera di Incirlik dan bekalan elektik juga disekat.

AS menggunakan pangkalan di Incirlik untuk melancarkan misi memerangi IS di Syria dan Iraq. – Agensi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...