Klik aje le

Tuesday, July 19, 2016

Mufti Perak sambut baik cadangan pindaan RUU

Nasional - Sinar Harian

IPOH – Mufti Perak menyambut baik cadangan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) yang dibentangkan Presiden Pas di Dewan Rakyat, Mei lalu.

Tan Sri Harussani Zakaria berkata, undang-undang bagi meningkatkan hukuman sedia ada itu adalah sesuatu yang baik untuk dilaksanakan, sekiranya diterima semua pihak.


“Bagus jika diterima (semua pihak), orang Islam tak perlu takut dengan undang-undang ini, hanya orang Islam yang berbuat jahat sahaja yang perlu takut,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Radio Nurul Quran Nusantara di Dewan Kuliah Masjid Sultan Azlan Shah, hari ini.

Kerajaan sebelum ini memberikan keutamaan untuk pindaan Akta 355 dibincangkan di Dewan Rakyat, bagaimanapun Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon ia ditangguhkan ke sesi akan datang kerana kesuntukan masa.

Usul mempercepatkan perbahasan itu dibawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan disokong Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

Keadaan itu menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pemimpin bukan Islam termasuk parti kompenan BN sendiri dengan tindakan kerajaan mengutamakan RUU yang dibawa Pas hingga ada yang mengungut untuk keluar parti.

Harussani berkata, masyarakat bukan Islam tidak sewajarnya mencampuri urusan yang tiada kena mengena dengan mereka.

Katanya, sepertimana telah dijelaskan banyak pihak, undang-undang Mahkamah Syariah itu hanya termaktub untuk yang beragama Islam dan tidak boleh membicarakan orang bukan Islam.

“Semua agama pun menyuruh ke arah kebaikan, sepertimana kita tak pernah campur urusan agama lain, tak pernah caci agama lain, jadi mereka tak perlulah masuk campur dalam RUU ini,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...