Klik aje le

Saturday, July 23, 2016

Semua perlu hormati hak tutup aurat: Datuk Zainul Rijal



July 22, 2016 Berita Utama,
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, Jumaat – Menutup aurat merupakan suatu hak yang perlu dihormati oleh semua kalangan, kata Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Beliau berkata, hak untuk menganuti dan mengamalkan agama Islam tidak boleh disekat oleh mana-mana pihak atas apa-apa alasan sekalipun melainkan sekiranya ia berlawanan dengan undang-undang am seperti ketenteraman awam, kesihatan awam dan moraliti.

“Ini kerana, Perkara 11(1) Perlembagaan menjamin kebebasan beragama di mana menurut Perlembagaan, setiap warganegara Malaysia berhak menganuti dan mengamalkan agamanya sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perkara 11(1) iaitu

“Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan tertakluk kepada fasal (4) mengembangkannya dan peruntukan ini hendaklah dibaca bersama-sama dengan Perkara (1) Perlembagaan yang menyatakan Islam adalah agama Persekutuan tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di Malaysia,” katanya dalam tulisan artikel di Sinar Online, hari ini.

Mengulas lanjut, Zainul Rijal berkata, pemakaian tudung dan memakai pakaian yang menutup aurat oleh seorang Muslimah bukanlah sesuatu perkara yang baru di negara ini.

Namun, sehingga kini masih wujud halangan kepada wanita Muslimah untuk mengamalkan tuntutan beragama ketika di tempat kerja.

“Masih kedapatan majikan yang dengan secara sedar meletakkan wanita Muslim dalam dilema antara mematuhi perintah Tuhan dengan peraturan yang dikenakan oleh majikan dalam berpakaian.

“Sedangkan perintah pemakaian tudung kepada wanita Muslimah adalah satu perintah yang jelas sebagaimana diperintahkan oleh Allah dalam Surah An Nur Ayat 31,” tegasnya.

Zainul Rijal berkata, tindakan sesetengah majikan yang menghalang pekerja wanita daripada berpakaian sebagaimana yang dikehendaki agama adalah bertentangan dengan hak mengamalkan agama yang dijamin oleh perlembagaan.

“Oleh yang demikian bagi memastikan kehidupan yang harmoni dan aman di Malaysia, semua pihak perlu memahami hak masing-masing menurut Perlembagaan dan perlu memahami kedudukan agama Islam dan agama-agama lain dalam Perlembagaan agar tiada pihak yang dinafikan haknya,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...