Klik aje le

Saturday, August 13, 2016

RUU AKTA 355; TIADA SEBAB MAHASISWA ISLAM TIDAK BERSAMA!



1. GAMIS sebagai mahasiswa Islam yang beriman kepada misi manusia dihantar ke muka bumi adalah sebagai khalifah, senantiasa mempunyai keazaman untuk menegakkan keadilan berpandukan kepada petunjuk yang diwahyukan. GAMIS bertekad untuk meneruskan usaha-usaha itu dalam ruang lingkup kemahasiswaan dan akan sentiasa menyokong pihak-pihak yang berusaha ke arah matlamat yang sama.

2. Atas dasar itulah, apabila Rang Undang-Undang Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang menyatakan bahawa “2A. Dalam menjalankan undang-undang jenayah di bawah Seksyen 2 Mahkamah Syariah berhak menjatuhkan hukuman yang dibenarkan oleh undang-undang syariah berkaitan hal-hal kesalahan yang disenaraikan di bawah seksyen yang disebutkan di atas, selain dari hukuman mati.”, GAMIS memberikan sokongan penuh untuk ianya diluluskan selepas perbahasan di Parlimen.

3. Sudah sememangnya menggubal undang-undang termasuklah memindanya merupakan sebahagian daripada fungsi Parlimen. Prinsip asas kepada sebuah kerajaan demokratik adalah wakil rakyat mestilah dibenarkan untuk berucap dan membahaskan mana-mana undang-undang yang dirasakan perlu. Memetik ucapan Almarhum Tuan Guru Nik Aziz ketika pembentangan salah satu enakmen negeri di Dewan Undangan Negeri Kelantan, beliau berkata “….. tuntutan yang terbesar bagi kita sekarang ini yang terabai ialah menegakkan kedaulatan Allah di dalam perundangan, dengan mempastikan hukum-hukumnya yang telah dinaskan dengan terang diterima pakai dalam negeri ini dan seterusnya seluruh negara. Meninggalkan kewajipan ini adalah dosa besar di sisi Allah dan kerugian yang besar kepada keselamatan dan keamanan rakyat”. Justeru, YB Marang dilihat telah menunaikan tanggungjawabnya sebagai ahli parlimen yang beragama Islam, sementelah pula usul yang dibawa tiada salahnya dalam konteks demokrasi sebagaimana yang dibenarkan Perlembagaan Persekutuan dan Peraturan Mesyuarat.

4. Tambahan pula, setelah lebih 45 tahun sejak Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang menghadkan hukuman yang boleh dikenakan kepada maksimum 3 tahun penjara, denda RM5000 dan 6 kali sebatan ini diperkenalkan GAMIS percaya sudah tiba masa masa untuk bidang kuasa Mahkamah Syariah dipinda supaya ianya terus relevan dengan suasana dan perubahan-perubahan yang berlaku pada hari ini.

5. GAMIS percaya sekiranya usul ini diluluskan, ia tidak akan menjejaskan urusan-urusan masyarakat yang bukan beragama Islam kerana bidang kuasa Mahkamah Syariah hanya terguna pakai kepada masyarakat yang bergama Islam sahaja.Bukan itu sahaja, hak-hak orang bukan Islam juga tetap dilindungi di negara ini seperti mana yang dijamin oleh Islam dan Perlembagaan Persekutuan.

6. GAMIS mewakili suara mahasiswa Islam menyatakan kebersamaan dengan ratusan NGO Islam yang lain, dalan memberikan sokongan padu atas usaha Yang Berhormat Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Kita yakin, pada akhirnya generasi anak muda Islam hari inilah yang bakal menikmati kesan pindaan bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana ianya berkait rapat dengan hal urusan umat Islam.

7. GAMIS akan menggerakkan seluruh jentera untuk memberi penerangan kepada masyarakat khususnya mahasiswa bagi memastikan sokongan padu terhadap perkara ini. Seminar RUU Mahkamah Syariah akan dilaksanakan di seluruh negara disamping penerangan berperingkat diperingkat kampus dan media sosial. GAMIS menyeru kepada mahasiswa Islam untuk bersama dalam kempen ini khususnya dalam menyebarkan kefahaman di media sosial. Ayuh anak muda tukar DP fb anda dan hangatkan hashtag ‪#‎mahasiswasokongpindaanakta355‬!

8. Akhirnya, marilah kita menghayati firman Allah SWT :

"Hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah, dan janganlah kamu mengikuti keinginan mereka. Dan waspadalah terhadap mereka, jangan sampai mereka memperdayakan kamu terhadap sebagian apa yang telah diturunkan Allah kepadamu. Jika mereka berpaling (dari hukum yang telah diturunkan Allah), maka ketahuilah bahwa sesungguhnya Allah berkehendak menimpakan musibah kepada mereka disebabkan sebagian dosa-dosa mereka. Sungguh, kebanyakan manusia adalah orang-orang yang fasik."
[Al-Mai'dah, 49]

Semoga Allah menjadikan Malaysia sebuah Negara yang aman, makmur, sejahtera dalam rahmat Allah.

"BERSAMA MELANGKAH, MENUJU PERUBAHAN"

Muhammad Afiq B. Awang Bakar,
Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...