Klik aje le

Friday, August 26, 2016

RUU355 UNTUK PERLIHATKAN KEBAIKAN ISLAM



Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


KUALA TERENGGANU: Usaha PAS mengemuka usul persendirian pindaan RUU355 umpama untuk ‘menebuk lubang’ supaya masyarakat dapat ‘mengintai’ kebaikan Islam, demikian terang Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Jelasnya, pindaan melibatkan Jadual Kesembilan itu adalah untuk menaikkan martabat Mahkamah Syariah, bukan melaksanakan undang-undang hukuman hudud dan qisas, tetapi memperkenalkan konsep kehakiman dan konsep undang-undang Islam yang mendidik.

Menurut beliau, bidang kuasa Mahkamah Syariah ketika ini lebih rendah dari Mahkamah Sivil dan terserah kepada negeri dengan menguatkuasa maksima hanya tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

Katanya, hudud, qisas dan lain-lain hukuman berat memerlukan pindaan Perkara 76A Perlembagaan Malaysia menerusi majoriti dua pertiga di Parlimen, tetapi akibat kesalahan Umno, kerusi Islam kini sudah tidak lagi mencapai dua pertiga.

“Baru-baru merdeka, (ada) majoriti dua pertiga (Ahli Parlimen Islam), sangat besar majoritinya. Masa itu kita (PAS) desak, mereka (Umno-Perikatan) kata, ansur-ansur, ansur-ansur. Mereka tuduh kalau laksanakan Islam, huru-hara negeri ini, rosak negeri. Tak cukup batu nak buat jalan raya, busuk sungai Kelantan, sungai Terengganu (jika) laksanakan hukum hudud.

“Mereka persendakan hukum syariat. Hasil kita masuk kerajaan tahun 1973, 1974 hingga 1979, berlaku kebangkitan Islam di dalam jentera-jentera kerajaan, yang berakhir dengan generasi-generasi yang lahir ini mendesak dilaksanakan syariat,” ujarnya pada Kongres Rakyat Terengganu di Terengganu Equesterian Resort, Kuala Ibai, di sini 20 Ogos lalu.

Menurutnya, ketempangan yang berlaku hari ini adalah kerana negara menerima warisan penjajah, sedangkan Islam telah datang ke tanah air dalam keadaan sempurna dan lengkap, di mana ia diamal dan dihayati dalam masyarakat Melayu sedang mereka asalnya beragama Hindu dan Buddha.

Jelas beliau, mereka tidak dipaksa masuk Islam, tetapi melihat Islam yang diamalkan seluruhnya, menyebabkan mereka masuk Islam.

Katanya, masih ada kuil Borobudur di Indonesia, candi-candi agama lain di Merbok Kedah, rumah ibadat di Mesir dan rumah Majusi di Iran yang wujud sejak sebelum kedatangan Islam.

Menurut Tuan Guru, generasi awal yang lahir di bumi padang pasir kering kontang mengambil masa hanya 80 tahun menyebarkan Islam meliputi China, Asia Tengah, Utara Afrika hingga ke Sepanyol.

Tegasnya, mereka itu melakukan ‘Futuhat Islamiyah’ iaitu Pembukaan Islam dan bukannya melakukan Imperialisme atau Kolonialisme seperti penjajah Barat.

Terang beliau, Allah menurunkan Islam kepada seluruh alam dengan menetapkan acuan-Nya bermula daripada mencipta, mengilmu dan mendidik, menyatakan dasar, konsep dan matlamat kehidupan sesuai mengikut fitrah naluri manusia.

Jelasnya, manusia mempunyai jasad, roh dan akal di mana hidup secara individu, berkeluarga dan bermasyarakat Madani dengan menjalinkan hubungan semua aspek-aspek kemanusiaan itu laksana mata rantai yang tidak boleh diputuskan diantara satu sama lain.

“Akidah, syariat, akhlak, politik, ekonomi, pendidikan, adalah mata rantai yang tak boleh dipisah di antara satu sama lain. Bila satu bermasalah, berjangkit kepada aspek-aspek yang lain. Jangan tuduh Islam silap, kerana masalah keluarga dalam masyarakat Islam. Jangan tuduh Islam silap kerana orang Islam tidak berjaya mengatasi masalah ekonomi.

“Silapnya kerana mata-mata rantai ini diputuskan, ada yang ditinggalkan. Allah s.w.t telah menetapkan empat asas kukuh bagi manusia. Pertama; akidah tauhid, kedua beriman kepada hari akhirat, ketiga bertakwa dan keempat Islam adalah ad-Din. Ini empat perkara yang penting,” ujarnya.

Jelas beliau, akidah tauhid ialah pegangan bahawa tidak ada tuhan sebenar melainkan Allah, tidak yang boleh mengatasi Allah, di mana tanpanya, manusia menjadi zalim, berlagak sebagai tuan dan boleh buat segala-galanya.

Dengan konsep itu katanya, semua beribadat, tunduk kepada peraturan dan arahan-arahan Allah dengan tidak ada sesiapa yang boleh mengatasi undang-undang di dalam Islam, termasuk oleh Nabi Muhammad s.a.w yang dipilih oleh Allah menjadi Ketua Negara di akhir zaman,

“Termasuk Rasul, tidak boleh mengatasi syariat, mengatasi undang-undang. Ini akidah tauhid. Kacau pada hari ini, sama ada sistem ‘dictatorship’ ataupun demokrasi, kata sahaja demokrasi tetapi tidak ada akidah tauhidnya. Boleh buat apa sahaja pada rakyat. Rakyat dianggap sebagai hamba-hamba dia, macam makhluk,” bidasnya.

Lanjut beliau, beriman kepada hari akhirat mendidik manusia adanya perhitungan dosa dan pahala, termasuk dalam aspek Undang-undang Islam di mana ia tidak ada pada perundangan Barat.

Katanya, jika mengikut undang-undang Barat seseorang itu dibebas mahkamah kerana menipu dan selamat kerana lepas, tetapi dengan Syariat Islam, orang yang ada akidah kalau dilepaskan daripada mahkamah dunia, tetap ingat akan disoal dalam kubur kerana adanya hari akhirat lagi.

Perkara itu ujarnya, menyebabkan manusia takut hendak melakukan kesalahan atau menipu, manakala dengan takwa Allah Taala hancurkan asabiyah kaum, baka dan keturunan termasuk perbezaan warna kulit, lelaki dan perempuan,

Tegasnya, jika manusia tahu dosa pahala tidak timbul masalah-masalah sebagaimana berlaku ketika ini di mana puncanya kerana meninggalkan Islam.

“Kita tidak boleh menyelesaikan masalah selagi kita tidak membuat perubahan. Agama, politik, perundangan, ekonomi, belia, wanita dan lain-lain, semua aspek kemasyarakatan, semuanya mengeluh, mengadu, mencari penyelesaian. Bagi kita penganut Islam, kita perlu menyedari bahawa penyelesaiannya ialah Islam. Semua masalah itu kerana meninggalkan Islam.


“Di sana ada peraturan tabie, semulajadi, fitrah, yang tak boleh diubah oleh semua manusia, ini menyerah diri. Di sana ada peraturan mengikut akal yang diizin oleh Allah, batas sempadan yang manusia tak mungkin fikir. Di sini ada disebut Maqasid Syariah. (Tetapi) ada orang guna Maqasid Syariah untuk meninggalkan Islam.

“Tujuan syariat adalah kebaikan, menolak kemudharatan. Di sana ada kebaikan yang hanya diketahui oleh Allah, manusia tak tahu. Ada keburukan yang diketahui oleh Allah, manusia tak tahu. Di sini wajib dan haram, jangan lawan, jangan pakai Maqasid Syariah (untuk beralasan menafikan perintah Allah), ini tak boleh, keputusan Allah.

“Dan di sana ada perkara yang tidak dinyatakan oleh Allah, di sini boleh pakai Maqasid Syariat, mengikut keperluan agama, nyawa, akal, keturunan, maruah dan harta benda, yang melibatkan semua anggota masyarakat, keperluan diri, keluarga dan rakyat seluruhnya,” ujarnya membetul kecurangan yang berlaku.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...